108 pemimpin muda Amanah sokong kenyataan Mohamad, Guan Eng

108 pemimpin muda Amanah sokong kenyataan Mohamad, Guan Eng

Seramai 108 pimpinan muda Parti Amanah Negara (Amanah) menyokong kenyataan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkaitan hala tuju Pakatan Harapan (PH) selepas ini.

Menerusi satu kenyataan, mereka menegaskan kesatuan dalam kalangan semua parti komponen pembangkang amat mustahak bagi menghadapi cabaran politik mendatang serta persediaan bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Pakatan Harapan perlu mengambil langkah progresif bagi membuka semula pintu rundingan kepada parti-parti pembangkang yang lain bagi membina semula imej dan kekuatan menjelang tahun hadapan.

“Idea Politik Baharu Gabungan Besar atau disebut sebagai “Grand Coalition” bukanlah satu perancangan untuk membelakangi mana-mana parti komponen PH.
“Kita memerlukan ikhtiar baharu dalam mobilisasi gabungan parti pembangkang dalam satu visi dan misi yang sama iaitu dengan menolak kleptokrasi dan mengangkat nilai demokrasi, integriti serta urus tadbir yang baik,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut mereka, sudah sampai masanya untuk pimpinan PH dan parti-parti pembangkang yang lain memberi fokus kepada penyatuan dan kesepaduan.

“Ia bagi menggembleng usaha supaya dapat bergerak sebagai satu pasukan, menampilkan wajah-wajah baru kepimpinan yang segar dan mengenepikan perbezaan serta bebanan lampau,” menurut kenyataan itu lagi.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan dua pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) mencadangkan agar gabungan itu membuat satu anjakan politik untuk menyatukan seluruh blok pembangkang.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan bersama menegaskan, sudah tiba masanya untuk seluruh blok pembangkang bersatu demi membina kekuatan bersama yang ada atas landasan perjuangan bersama.

Mohamad dan Guan Eng menegaskan, undian Belanjawan 2021 pada Selasa lalu mengajar PH supaya tidak membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang dan tidak perlu membuang masa dengan Ahli Parlimen kerajaan yang oportunis.

Menurut Ahli Parlimen Kota Raja dan Bagan itu, kelompok itu hanya memperalatkan PH untuk kepentingan peribadi agar memperoleh tawaran yang lebih lumayan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sumber:https://www.astroawani.com/berita-politik/108-pemimpin-muda-amanah-sokong-kenyataan-mohamad-guan-eng-273729

COMMENTS