4 individu terima darjah gelaran Datuk daripada Sultan Johor

4 individu terima darjah gelaran Datuk daripada Sultan Johor

Seramai empat individu hari ini dikurniakan darjah kebesaran oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua, Datuk Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) itu diberikan sempena ulang tahun hari keputeraan baginda yang ke-62.

Empat individu berkenaan termasuklah Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Aman Rabu.

Tiga lagi penerima adalah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri Salehuddin Hassan, Mejar Cina David Wong Khoong Soon dan Ahli Pemegang Amanah Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) Avinderjit Singh Harjit Singh.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Sultan Johor, pengurniaan darjah yang membawa gelaran Datuk berkenaan berlangsung di Balai Mengadap, Istana Pasir Pelangi, pagi tadi.

Turut berangkat Tunku Mahkota, Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani.

Wong, berketurunan Wong Ah Fook, yang dilantik sebagai Mejar Cina atas perkenan Sultan Ibrahim pada September lalu, menjalankan tugas dan bekerjasama dengan YSIJ dalam menyelaras, mengatur dan melaksana pengagihan kurniaan barangan keperluan makanan kepada penduduk negeri itu.

Sumber:https://malaysiagazette.com/2020/11/22/4-individu-terima-darjah-gelaran-datuk-daripada-sultan-johor/

COMMENTS