4 jam diperlukan untuk baca pertuduhan ubah wang haram pemimpin Umno Pulau Pinang

4 jam diperlukan untuk baca pertuduhan ubah wang haram pemimpin Umno Pulau Pinang

Ada kawan-kawan tanya pagi ini kenapa perlukan jurubahasa dalam mahkamah macam contoh kes di bawah ini. Apakah tertuduh tak faham bahasa Melayu ke sampai nak kena pakai jurubahasa.

Lagipun, tempoh 4 jam masa diambil untuk dibaca pertuduhan ke atas tertuduh. 4 jam tuan puan! Mau hakim kering air liur nak baca pertuduhan itu.

Sebenarnya dalam mana-mana mahkamah akan ada jurubahasa. Jurubahasa ini ibaratnya kerani atau lebih tepat kita kata pembantu peribadi kepada hakim dalam mahkamah. Hakim akan duduk atas bench.

Bench ini apa pulak? Bench ini macam mihrab kat masjid tu. Hari Jumaat khatib akan naik mihrab untuk berkhutbah sebab kalau duduk atas lantai mana jemaah nak nampak.

Cuma hakim takdelah berkhutbah atas mihrab. Biasanya bench ini tinggi 3-4 kaki daripada lantai. Lepas tu kalau ada apa-apa dokumen peguam nak bagi kepada hakim, jurubahasa ini lah yang akan jadi pengantara. Takkan hakim nak turun bench nak pergi amik dokumen daripada peguam.

Begitu juga kalau hakim nak bagi sesuatu kepada peguam seperti nak bagi tarikh sebutan akan datang, jurubahasa inilah yang akan berbisik dengan hakim tentang tarikh lapang diari mahkamah dan akan beritahu peguam.

Cuma dalam sesetengah kes seperti ada tertuduh yang hanya boleh berbahasa mandarin atau tamil, maka jurubahasa yang faham bahasa tersebut yang akan dipanggil.

Kalau ada kes melibatkan tertuduh bangsa lain seperti rusia atau bangladesh maka biasanya mahkamah akan panggil orang kedutaan untuk bantu.
Istilah jurubahasa pula biasanya digunakan dalam mahkamah sivil sahaja. Di mahkamah syariah jarang orang sebut jurubahasa biasa disebut pembantu hakim.

Kalau kita tengok website kehakiman pernah ada iklan jawatan jurubahasa ini. Gajinya antara RM1,355.00 RM4,007.0. Jurubahasa ini akan masuk bawah Gred LA19 dan skop kerja adalah menterjemah kes-kes dalam mahkamah terbuka dan kamar hakim, mencatat, merekod, mengemaskini dan lain-lain tugasan yang diberikan yang berkaitan.

……………………………

Bekas Adun hadapi 106 pertuduhan pengubahan wang haram [METROTV]

Butterworth: Jurubahasa mahkamah mengambil masa hampir empat jam untuk membaca kesemua 106 pertuduhan terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Maung dan juga pengerusi lembaga pengarah koperasi hartanah yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini berkaitan dengan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM11 juta.

Datuk Ir Mansor Musa, 58, yang menjadi Adun ketika penggal 2004 hingga 2008, mohon untuk dibicarakan terhadap semua pertuduhan yang dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Jurubahasa mahkamah juga terpaksa membaca kesemua 106 pertuduhan itu di tiga mahkamah berbeza berikutan berlaku gangguan elektrik.

Mansor yang kini Ketua Bahagian Umno Bayan Baru didakwa terhadap 106 tuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan dirinya dalam urus niaga haram dengan menerima wang tunai, aset dan saham melalui syarikat yang berbeza antara September 2011 dan 10 Ogos tahun lalu.

Tertuduh berdepan 42 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 [Akta 613] (AMLATFA 2001) dan 64 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] (AMLATFAPUAA 2001).

Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengawal Ketua Umno Bahagian Bayan Baru, Datuk Mansor Musa (memakai cermin mata hitam) ke mahkamah di mana dia menghadapi 106 tuduhan pengubahan wang haram bernilai lebih RM11 juta di Mahkamah Sesyen Butterworth, Butterworth, Pulau Pinang. (12 Julai, 2021). Sumber TheStar

Jika sabit kesalahan mengikut AMLATFA, tertuduh boleh dihukum tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi AMLATFAPUAA pula, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun atau boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram yang diambil.

Kes itu dikendalikan pasukan pendakwaan diketuai Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Faridz Gohim Abdullah bersama Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Muhamad Azlan Basri, manakala tertuduh diwakili peguam, Kek Boon Wei dan Helen Ng.

Dalam prosiding itu, Faridz memohon kepada mahkamah supaya menetapkan wang jaminan sebanyak RM2 juta dengan seorang penjamin terhadap tertuduh, namun Boon Wei merayu supaya anak guamnya diberikan jaminan munasabah sebanyak RM100,000.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 September sebagai tarikh serahan dokumen.

Semalam, Mansor ditahan SPRM selepas dipercayai terbabit dalam pengubahan wang haran, menerima wang rasuah dan barangan berharga yang dianggarkan berjumlah lebih RM16 juta.

Menurut sumber, tertuduh itu secara keseluruhannya bakal berdepan 160 pertuduhan termasuk dengan 106 pertuduhan di Mahkamah Sesyen hari ini.
Baki 54 lagi pertuduhan dijangka akan dibacakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada minggu ini juga.

Disiarkan pada: Julai 12, 2021 @ 3:33pm
https://www.hmetro.com.my/…/bekas-adun-hadapi-106…

Sumber : https://nextstepmalaysia.com/jurubahasa-mahkamah-ambil-masa-4-jam-baca-106-pertuduhan-ubah-wang-haram/

BACA JUGA : Pemimpin Umno Pulau Pinang didakwa ubah wang haram RM11 juta

COMMENTS