Adik beradik bergaduh sampai keduanya maut

Adik beradik bergaduh sampai keduanya maut. Dua beradik ditemukan mati selepas berlaku pergaduhan di antara mereka di Jalan Mohamed Naseh, di sini pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu sebelum bergegas ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, satu mayat dijumpai dalam keadaan berlumuran darah dalam keadaan tertiarap di ruang dapur.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi menemui mayat seorang lagi lelaki di luar rumah (tepi dinding) dalam keadaan bersandar dengan tali rafia di leher,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Azizi berkata, siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran di antara dua beradik itu sebelum abang yang berusia 69 tahun menikam adik lelakinya yang berusia 67 tahun.

Adik beradik bergaduh sampai keduanya maut

Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati kejadian dipercayai berlaku pada jam kira-kira 10.20 pagi.

“Rumah tempat kejadian didiami dua keluarga adik beradik (mangsa dan suspek) bersama isteri dan anak kepada suspek.

“Menurut saksi kejadian iaitu isteri suspek memberitahu ketika berada di dalam biliknya, dia terdengar bunyi bising di bahagian dapur rumah dan apabila keluar melihat suspek dan suaminya (mangsa) sedang bergaduh.

“Saksi nampak suspek memegang senjata parang menikam bahagian hadapan badan mangsa beberapa kali dan kemudian melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, isteri mangsa yang cuba untuk meleraikan pergaduhan kedua beradik berkenaan turut mengalami kecederaan.

Katanya, polis turut menemui sebilah parang berhampiran suspek yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat punca kematian,” katanya.

BACA:

Tudung Mia Sara makin singkat, ramai syak ini berlaku

Pelanggan terkejut tengok harga roti canai, nasib baik pamer harga

Denda RM250 jika tak kibar jalur gemilang

+ posts