Ahli Parlimen, ADUN dapat vaksin awal ,Tiada alasan gantung sidang

Ahli Parlimen, ADUN dapat vaksin awal ,Tiada alasan gantung sidang

Pemberian vaksin kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan membolehkan persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin, kata Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar.

Beliau berkata, jika semua wakil rakyat diberi vaksin menerusi suntikan kumpulan pertama bermula 26 Feb ini maka tiada lagi alasan kerajaan menggantung sidang Parlimen dan DUN.

“Kalau kerajaan menganggap Ahli Parlimen dan ADUN sebagai barisan hadapan, jadi bulan Mac boleh diadakan sidang Parlimen dan DUN, tidak boleh lagi beri alasan gantung Parlimen,” katanya.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai golongan itu menjadi penerima vaksin fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula hujung bulan ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parmatang Pauh Nurul Izzah Anwar yang menganggap keutamaan pemberian vaksin kepada wakil rakyat sebagai sesuatu yang perlu memandangkan kumpulan itu juga golongan berisiko tinggi mirip petugas barisan hadapan.

“Ahli Parlimen dan ADUN boleh dianggap berisiko tinggi berdasarkan kekerapan mereka menyantuni orang ramai. Justeru, pemberian vaksin kepada mereka (dapat) membantu mengawal penyebaran wabak ini kepada orang ramai,” katanya kepada FMT.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub pula berpendapat pemberian vaksin hanya perlu untuk perdana menteri dan beberapa menteri kanan, manakala selebihnya diberikan kepada golongan lain yang lebih berhak.

“Kita tidak mahu timbul isu kami memintas (giliran) mereka yang berhak mendapat vaksin dahulu. Berilah (peruntukan vaksin) kepada rakyat yang lebih memerlukan.

“Tidak mengapa (tangguh dahulu beri vaksin kepada kami), kami akan terus kekal berkhidmat kepada rakyat dengan patuh kepada SOP dan sentiasa berjaga-jaga,” kata beliau.

Sumber:https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/16/tiada-alasan-gantung-sidang-jika-ahli-parlimen-adun-dapat-vaksin-awal/

COMMENTS