Ajal pulang bertugas

Ajal pulang bertugas

Seorang anggota bomba maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Bulatan Bestari, Jalan Wawasan di sini pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) Sarawak dalam kenyataannya berkata, kejadian berlaku ketika mangsa Jackery Tuksing, 48, yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda dalam perjalanan balik ke rumah di Kampung Tellian Ulu Mukah, pada 10.24 pagi.

Menurut kenyataan itu, mangsa ketika itu dalam perjalanan balik dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah.

“Mangsa dilanggar MPV Nissan X-trail dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Mukah,” katanya, hari ini.

Sementara, Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Jimmy Panyau berkata, mangsa dilaporkan meninggal dunia akibat parah di kepala.

Katanya, kemalangan berpunca akibat kecuaian pemandu MPV terbabit yang datang dari arah pekan Mukah ke Kampung Medong Dalat.

“Semasa memasuki kawasan Bulatan Bestari, pemandu kenderaan terbabit melanggar mangsa.

“Pemandu MPV berusia 40-an itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah ditahan di Balai Polis Mukah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/649137/ajal-pulang-bertugas

COMMENTS