Akhirnya di hadapkan ke mahkamah

Akhirnya di hadapkan ke mahkamah

Seorang pekerja kontrak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas empat tuduhan merompak, meraba, melakukan hubungan seks tanpa kerelaan dan persetubuhan luar tabii terhadap seorang wanita.

Tertuduh, Noor Hezree Mohd Ariffin, 32, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.

Terdahulu, tertuduh yang hadir ke mahkamah memakai kemeja-T merah dilihat hanya mendiamkan diri sebaik dibawa ke mahkamah.

 

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Noor Hezree didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan luar tabii dan menggunakan kekerasan jenayah dengan meraba seluruh tubuh serta melakukan hubungan seks tanpa kebenaran mangsa yang berumur 31 tahun.

Dia dituduh melakukan semua kesalahan itu di sebuah premis, Jalan Seri Putra 1/6, Bandar Seri Putra, Bangi, di sini, jam 12.30 tengah hari, pada 12 November lalu.

Bagi kesalahan merogol dan persetubuhan luar tabii, dia didakwa masing-masing mengikut Seksyen 377CA dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 dan 20 tahun serta sebat.

Tertuduh, Noor Hezree Mohd Ariffin, 32, dibawa anggota polis untuk didakwa diatas pertuduhan merompak, merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang wanita yang juga rakan sekerjanya di Mahkamah Sesyen Kajang. –
Bagi kesalahan menggunakan kekerasan jenayah, pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dua daripada seksaan itu.

Noor Hezree turut didakwa merompak mangsa sama dengan mengambil seutas rantai leher dan kaki serta wang tunai RM953 dengan bersenjatakan pisau, di tempat, masa dan tarikh masa.

Dia didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda dan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Sahat, tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana dikhuatiri akan mengganggu mangsa.

“Pihak pendakwaan memohon mahkamah tidak menggunakan budi bicara untuk membenarkan ikat jamin kerana tertuduh adalah seorang yang ganas selain pernah melarikan diri dari Hospital Kajang ketika di bawah tahanan pihak polis,” katanya.

Bagaimanapun, Noor Hezree yang tidak diwakili peguam, memohon dibenarkan ikat jamin dengan alasan mempunyai dua anak dan perlu menanggung isteri.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 7 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Noor Hezree mengaku tidak bersalah melarikan diri daripada jagaan polis yang mana dia ditahan secara sah bersabit laporan Bangi di bilik rawatan Hospital Kajang, di sini, jam 11.40 pagi, pada 13 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hairul Iqram Hairuddin, memohon mahkamah menetapkan tarikh serahan dokumen dan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana berdepan empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen.

Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli, membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis dan menetapkan tarikh sama di Mahkamah Sesyen untuk sebutan kes.

Sumber:https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/11/756239/pekerja-kontrak-didakwa-rompak-rogol

COMMENTS