Amanah cabar Muafakat Nasional, PN kemuka calon MB Selangor

Amanah cabar Muafakat Nasional, PN kemuka calon MB Selangor

Parti Amanah Negara (Amanah) mencabar gabungan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional (PN) untuk mengemukakan calon menteri besar mereka di Selangor.

Pengarah Komunikasi Amanah Selangor, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, cabaran itu adalah bagi membolehkan gabungan politik Muafakat Nasional dan PN menunjukkan kesungguhan serta kesepakatan mereka bagi mentadbir negeri ini.

Beliau berkata, Pas seharusnya sedar bahawa rakyat Selangor telah menghukum mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu apabila parti itu hanya mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang.

“Pas sendiri harus menginsafi bahawa rakyat Selangor jelas kecewa apabila mereka membelakangkan dan menjadi punca kepada pepecahan Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin memaklumkan parti itu memerlukan sokongan rakan politik lain bagi membantu menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Selangor.

Beliau berkata, pihaknya menyeru agar semua jentera Pas Selangor khususnya barisan pemuda parti itu agar dapat memberi sokongan penuh dalam menjayakan misi bagi memenangkan Muafakat Nasional dan PN di negeri itu.

Dalam pada itu, Wan Anwar berkata, sokongan rakyat Selangor terhadap PH semakin meningkat berikutan keberkesanan kerajaan negeri menyelesaikan isu-isu domestik antaranya seperti bekalan air dan perobohan kilang haram.

“Saya ingin menegaskan bahawa kemenangan lebih besar PH di Selangor pada PRU14 lalu adalah hasil kesepaduan utuh parti-parti komponen,” katanya.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/116959/EDISI/Selangor-KL/Amanah-cabar-Muafakat-Nasional-PN-kemuka-calon-MB-Selangor

COMMENTS