Anggota MPV kini dilengkapi jaket kalis peluru, tahan tikaman

Anggota MPV kini dilengkapi jaket kalis peluru, tahan tikaman

Anggota polis Unit Kereta Peronda (MPV) kini dilengkapi jaket pantulan cahaya yang mempunyai ciri-ciri keselamatan baharu yang lebih terjamin.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, pihaknya menerima 800 unit jaket kalis peluru dan tahan tikaman yang diagihkan kepada semua Kontinjen di seluruh negara.

Katanya, jumlah agihan diberi mengikut keperluan anggota dan kecenderungan jenayah setiap negeri.

“Dalam fasa pertama ini, sebanyak 800 unit jaket keselamatan diterima dan keutamaan agihan kepada petugas MPV.

“Kontinjen Johor menerima 100 unit kerana kontinjen ini besar dan ada 13 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) serta risiko kerap berlaku insiden. Kita beri jaket ini mengikut keperluan anggota, terutama Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.

“Fungsi jaket keselamatan adalah memberi perlindungan balistik terhadap tembakan peluru kaliber 9 mm, perlindungan daripada tikaman serta dilengkapi pantulan cahaya bagi memberi perlindungan kepada anggota yang bertugas pada waktu malam,” katanya pada sidang media pada Majlis Penyerahan Jaket Keselamatan dan 400 baju Skuad Aman Wanita (Amanita) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Zainal Abidin berkata, sebelum ini anggota MPV hanya dibekalkan jaket keselamatan pantulan cahaya tanpa ciri keselamatan.

Katanya, keperluan jaket dengan ciri keselamatan itu mengambil kira cabaran terutama anggota MPV berhadapan dengan penjenayah yang mungkin mempunyai senjata.

“Jaket keselamatan ini mempunyai jangka hayat 10 tahun dengan anggaran berat empat kilogram, amat sesuai digunakan sebagai alatan keselamatan sokongan semasa bertugas.

“Kita mempunyai 3,000 MPV dan memerlukan 6,000 unit jaket keselamatan untuk anggota. Setakat ini baru perolehi 800 unit dan berharap kerajaan dapat membekalkan lagi jaket berkenaan mengikut keperluan dan bajet pada tahun depan,” katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/657701/anggota-mpv-kini-dilengkapi-jaket-kalis-peluru-tahan-tikaman

COMMENTS