Anggota PGA cerita detik ditembak

Anggota PGA cerita detik ditembak

Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ditembak ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand kelmarin menyangkakan kesakitan pada bahagian perutnya hanya kesan gigitan binatang berbisa.

Lans Koperal Muhammad Amirul Amir, 26, dari Johor Bahru ketika menceritakan detik-detik itu berkata, dia hanya menyedari ia adalah kesan tembakan apabila menemui peluru tabur setelah menyelak baju kalis peluru yang dipakainya.

“Masa itu saya sedang buat rondaan bermotor sebelum tiba-tiba terasa sakit dan bila kibas baju, keluar peluru tabur.

“Saya terus tengok ke pagar sempadan lalu ternampak kelibat orang di tepi pagar sempadan sebelah Thailand seolah-olah melarikan diri,” katanya ketika ditemui di Pos M16 berdekatan sempadan Malaysia – Thailand di sini hari ini.

Menurut anggota yang lapan tahun berkhidmat dengan PGA itu, kejadian pada pukul 6.15 petang itu berlaku pantas dalam keadaan samar-samar kerana cuaca agak mendung mengakibatkan dia tidak dapat mengenal pasti kedudukan suspek.

“Ketika kejadian saya baru lima minit keluar dari Markas Taktikal (Martak) PGA Bukit Kayu Hitam untuk melakukan rondaan bermotor bersama seorang lagi anggota.

“Ini adalah kali pertama saya berdepan dengan situasi seperti ini dan mungkin ia ada kaitan dengan kes tembakan sebelum ini,” ujarnya.

Anggota berkenaan yang mengalami cedera ringan mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Jitra selepas kejadian.

Ia adalah kejadian tembakan selepas dua anggota PGA ditembak sekumpulan penyeludup di Pos TS9 berdekatan Padang Besar, Perlis pada kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi itu, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, daripada Batalion 3 PGA Bidor meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Sarjan Norihan Tari, 39, parah

Sumber:https://www.kosmo.com.my/2020/11/26/anggota-pga-cerita-detik-ditembak/

COMMENTS