Anggota polis dijangkiti Covid-19 meninggal ketika kuarantin di rumah

Anggota polis dijangkiti Covid-19 meninggal ketika kuarantin di rumah

Seorang anggota polis Cawangan Pengawal Pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, meninggal dunia akibat dijangkiti wabak Covid-19.

Menurut laporan polis yang dilihat Malaysiakini, anggota polis lelaki yang berusia 53 tahun itu meninggal dunia di kediamannya di Klang, Selangor, malam tadi.

“Arwah berumur 53 Tahun, bertugas sebagai Sarjan Pengawal Pengiring, cawangan pengawal pengiring IPD Klang Selatan, telah berkahwin dan mempunyai lima orang anak.

“Arwah telah menjalani ujian saringan Covid-19 pertama bertarikh 22 Jan 2021 kerana mengalami demam dan keputusan adalah positif Covid-19.

“Ujian saringan Covid-19 kedua telah dijalankan pada 23 Jan 2021 dan keputusannya turut positif Covid-19,” menurut laporan itu.

Selepas ujian pertama, menurut laporan itu lagi, arwah menjalani kuarantin di rumah dan tempoh itu dijadual berakhir 1 Feb ini.

“Sebab kematian yang disahkan oleh Pegawai Perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang adalah “kematian disebabkan Covid-19”, menurut laporan itu.

Menurut laporan itu lagi, jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Sungai Sireh, Klang pada jam 5.45 petang tadi.

Sumber:https://www.malaysiakini.com/news/560831

COMMENTS