Angkara Ayah nikah di Siam, anak perempuan terkahwin abang sendiri

Angkara Ayah nikah di Siam, anak perempuan terkahwin abang sendiri

Angkara ayah kahwin sembunyi di Thailand, anak perempuan terkahwin abang sendiri.

Dulu ada seorang wanita pernah bertanya pada saya, isunya agak complicated. Katanya, nak jumpa depan-depan, jadi saya pun ajak la private meeting di Starbuck Cafe sekitar Pulau Pinang.

Semasa bertemu dengan wanita tersebut, dia meminta untuk berada di satu sudut yang tersembunyi sikit. Saya agak, mesti cerita yang nak dikongsikan ini mesti banyak punyalah air mata.

Dah agak. Berambu air mata wanita ini. Baru saja mula 7 minit, wanita ini sudah menangis tersedu-sedu. Saya mintak dia habiskan dahulu tangisan itu.

Wanita ini dengan tenang menceritakan kemudian, dahulu bercinta dengan lelaki yang dikenali di universiti. 3 tahun bercinta, jadi sudah plan untuk berkahwin selepas grad.

Masa kenal, tak pernah jumpa dengan ayah lelaki tersebut. Katanya sudah meninggal. Wanita ini juga telah kematian ayah. Jadi, tak ada perkara yang curiga pun.

Selepas grad, wanita ini dinikahkan oleh abang kandung yang sulung sebagai walinya. Pernikahan berjalan dengan lancar. Selepas dua tahun pernikahan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata.

Selepas 2 tahun pernikahan itu, sewaktu wanita ini bersembang kosong dengan ibu mertuanya, terungkitlah kisah yang dia dulu ada berkahwin dengan ayah kepada suaminya tersebut di Sempadan Thailand tanpa pengetahuan sesiapa. Hinggalah selepas anak mereka dilahirkan iaitu suami wanita ini sekarang, suaminya menceraikannya.

Dan kemudian, tidak pernah ambil peduli tentang mereka berdua, dan ibu mertuanya ini pun tak pernah terfikir untuk membuat pengesahan nikah.

Keinginan wanita ini untuk melihat Sijil Pernikahan ibu mertuanya tersebut menjadi terbuak-buak sebab baru tahu tentang ibu mertuanya bernikah di sana.

Alangkah terkejutnya, bila mertua itu menunjukkan nama ayah mertua yang telah meninggal itu adalah sama seperti nama ayah wanita tersebut.

Terkedu lidah. Bahkan nombor kad pengenalan juga passport sama. Dia tekad untuk soal, bagaimana ciri-ciri ayah mertuanya itu?

Orangnya tinggi, kulit hitam manis, rambutnya lurus. Dulu, dia ajak ibu mertuanya nikah di Siam kerana tidak dapat restu. Bahkan, katanya dia tidak ada sesiapa, duda katanya.

Apabila ditunjukkan gambar almarhum ayah mertua yang terselit dicelah fail sijil nikah tersebut, terkejut beruk wanita itu.

Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah… menjerit dia dan berlari dia keluar rumah dan terus pandu keretanya pulang ke rumah keluarganya.

Menangis sepanjang perjalanan. Tiba di rumah ibunya, terus dia ceritakan segalanya.

Suami wanita ini tiba lebih kurang satu jam selepas balik daripada tempat kerja secara kecemasan. Bimbang apa-apa berlaku kepada isterinya.

Selepas diceritakan segalanya, biru pucat suaminya tersebut. Menangis air mata mengalir tak henti.

Inilah tujuan dia berjumpa saya, untuk ceritakan kisah ini.

✅ Apa kesan kepada pernikahan mereka?

Pertamanya si ibu mertua itu perlu membuat pengesahan nikah yang sepatutnya dibuat lama dahulu. Jika sememangnya sah nikah mereka, besar kemungkinan suami kepada wanita ini sememangnya anak sah taraf kepada ibu mertua dan bapa mertua atau bapanya sendiri.

Hubungan mereka boleh dianggap sebagai saudara sebapa, tapi berlainan ibu. Haram bernikah dengan saudara sebapa kerana dia juga adalah darah daging dari keturunan yang sama.

Pernikahan mereka ini perlu di FARAQ kan. Maksudnya, perlu memfailkan segera permohonan Faraq nikah di Mahkamah Rendah Syariah atas sebab pernikahan tak sah tersebut.

✅ Apa status anak mereka?

Anak kepada hasil perkahwinan wanita ini, boleh dianggap sebagai anak persetubuhan syubhah. Disebabkan ibu dan bapa tersebut tidak mengetahui yang mereka adalah saudara, maka anak tersebut perlu dibuat Permohonan Pengesahan Nasab selepas perkahwinan mereka difaraqkan.

Anak tersebut boleh terima nafkah daripada bapanya, boleh mewarisi dan boleh diwalikan oleh bapanya.

✅ Kesimpulan,

Janganlah senyap dan sembunyi. Kalau dah bernikah secara senyap, inilah kesan yang paling besar. Kasihan kepada anak cucu yang tidak bersalah.

Sebab itu, kita perlu menentang sekeras-kerasnya lelaki yang nak poligami secara senyap-senyap di Thailand. Ini punca kepada banyak masalah rumahtangga.

Wanita pula, beringat! Jangan mudah sangat termakan pujuk rayu jantan sebegini.

Apa kata anda? Kasihan kan?

Jika anda suka perkongsian saya dan ingin membaca penulisan-penulisan saya yang lain, jemput ke https://t.me/fahmiramliofficial

Saya selalu menulis dan berkongsi dengan isu rumahtangga, hak-hak wanita dalam Islam dan Undang-undang.

Kredit – Fahmi Ramli

COMMENTS