Asyik masak daun ketum, 13 lelaki kena cekup

Asyik masak daun ketum, 13 lelaki kena cekup

Asyik masak daun ketum, 13 lelaki kena cekup. Seramai 13 lelaki ditahan polis ketika sedang leka memasak daun ketum di bawah khemah di Felda di daerah ini dalam Op Tapis Khas yang diadakan bermula malam tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sekumpulan individu itu tahu bahawa aktiviti penyalahgunaan daun ketum adalah salah dan rata-rata menggunakan alasan mengambil ketum untuk menambah tenaga.

“Kita menahan 13 orang yang sedang memasak daun ketum di bawah khemah, dah macam kenduri.

“Ini tidak boleh, masyarakat perlu bantu beritahu kita jika ada aktiviti seumpama ini. Mereka ini pandai mencari tempat tersembunyi, pasang khemah, masak ketum dan minum.

“Semua tahu ketum itu tidak boleh minum secara salah, tetapi mereka beri alasan ambil minuman ketum sebab nak kerja seperti kait buah kelapa sawit dan tukang masak, jadi nak cari tenaga,” katanya beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Dialog Ketua Polis Johor bersama Warga Felda Daerah Kota Tinggi di Dewan Semai Bakti, Felda Gugusan Adela di sini, hari ini.

Asyik masak daun ketum, 13 lelaki kena cekup

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Johor, Senior Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid dan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora.

Menurut Kamarul Zaman, 13 tangkapan itu adalah antara 58 individu yang ditahan dalam operasi khas yang dijalankan di empat kawasan Felda dan satu taman perumahan dalam daerah ini bermula jam 11 malam tadi hingga 7 pagi tadi.

Katanya, mereka yang ditahan adalah 55 lelaki dan tiga wanita yang semuanya berusia antara 18 hingga 60 tahun.

“Pagi ini, kita periksa 63 orang dan hasil ujian saringan awal air kencing, 58 daripada mereka positif pelbagai jenis dadah.

“Daripada jumlah itu 22 ditahan kerana memiliki dadah dan 36 adalah penagih, manakala jumlah itu termasuk seorang yang disyaki pengedar dadah.

“Kita turut merampas 11.91 gram syabu, 6.05 gram heroin dan 1.9 liter air ketum yang semuanya dianggarkan bernilai RM1,421.75,” katanya.

Beliau berkata, semua tangkapan kini direman empat hari bermula hari ini hingga Rabu.

Sementara itu, mengulas mengenai program dialog berkenaan, Kamarul Zaman berkata, ia diadakan bagi menjalinkan kerjasama dan mengeratkan silaturahim antara Polis Johor dengan warga Felda di daerah ini, khususnya penduduk Felda Gugusan Adela.

“Hasil perbincangan, kita dapati masalah utama di sini adalah pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

“Kita akan meningkatkan operasi bagi membanteras aktiviti jenayah ini dan menghalang individu yang sengaja datang ke sini semata-mata untuk mengedar dadah,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, statistik penahanan warga Felda berkaitan dadah meningkat di kawasan itu berikutan tindakan dan operasi polis yang semakin meluas dan bertambah di Felda.

BACA:

Konvoi motosikal bertukar tragedi, tersepit bawah lori

Taja sampai 3 majlis RM15 juta, Reen Rahim dapat jodoh ‘pucuk muda’

Ramai gelak tengok babak Ummi Nazeera sebagai banduan jaga anak, rupanya dibenarkan