Bagi menampung kos operasi, hotel bajet terpaksa kerjasama dengan sindiket pelacuran

Bagi menampung kos operasi, hotel bajet terpaksa kerjasama dengan sindiket pelacuran

Terdesak memastikan perniagaan dapat terus bertahan ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kian ramai pemilik hotel di ibu kota berkolaborasi dengan sindiket pelacuran tempatan.

Berdasarkan maklumat, industri pelancongan yang merudum sejak lebih tiga bulan lalu memberi kesan langsung kepada hotel, sekali gus diambil peluang sindiket pelacuran untuk berselindung di sebalik operasi hotel bermasalah ini.

Sumber terbabit dalam industri perhotelan berkata, sindiket pelacuran mengambil kesempatan dengan menawarkan ‘memorandum persefahaman (MoU)’ melalui perjanjian menyewa tingkat hotel atau sejumlah bilik hotel bagi aktiviti pelacuran.

PENGUATkuasa DBKL melakukan siasatan terhadap sebuah hotel yang dijadikan sarang maksiat dalam satu operasi.

“Biasanya wujud perjanjian lisan apabila sindiket menyewa dan membayar bilik hotel secara pukal bagi tempoh sebulan atau lebih.

“Tawaran lumayan ini biasanya sukar ditolak pengusaha hotel yang berada dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ berikutan sektor pelancongan domestik yang lumpuh,” katanya.

Menurutnya, ia bagaimanapun tidak membabitkan hotel ‘nama besar’ sebaliknya kerap dilakukan hotel bajet atau hotel di bawah tiga bintang.

“Sindiket pelacuran akan menempatkan kumpulan pelacur sebagai ‘penyewa’ di bilik di hotel berkenaan dengan kedudukan secara rawak atau di aras tingkat sama. Modus operandi digunakan hampir serupa iaitu mereka bergantung kepada media sosial seperti aplikasi WeChat untuk mengiklankan kegiatan dan mendapatkan pelanggan.

“Biasanya pelanggan yang berminat akan muncul di hotel dan membuat bayaran secara tunai kepada pelacur di bilik hotel untuk mendapatkan khidmat seks. Tiada sebarang urusan di kaunter hotel dan kakitangan hotel hanya mengunci mulut,” katanya.

Menurutnya, nombor bilik hotel bagi pelacur yang ditempah pelanggan akan diberikan melalui mesej di telefon pintar.

“Bayaran dikenakan berbeza-beza mengikut negara asal pelacur, usia dan fizikal. Biasanya pelacur dari Vietnam, Thailand, China atau negara bekas kesatuan Soviet ditetapkan pada harga melebihi RM200.

“Walaupun menyedari risiko bakal dihadapi namun pemilik hotel sanggup mengetepikan isu moral dan larangan PKP 3.0 demi wang,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, pihaknya menyedari kegiatan persundalan dan maksiat dilakukan di hotel itu hasil operasi serta serbuan saban minggu sepanjang tempoh PKP sejak tahun lalu.

Menurutnya, bilangan hotel yang terbabit dengan jenayah maksiat ini meningkat ketara apabila pihaknya menyerbu dan menyita 19 hotel maksiat sejak Januari hingga 31 Ogos lalu.

“Angka ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding hanya empat hotel dikesan melakukan aktiviti sama sepanjang tahun lalu.

“Selain itu, DBKL turut mengambil tindakan menyerbu dan menyita 57 pusat refleksologi sekitar ibu kota yang menawarkan khidmat urutan dan layanan seks kepada pelanggan sejak lapan bulan lalu.

“Jumlah ini dijangka terus meningkat berbanding 89 pusat refleksologi dikenakan tindakan sepanjang tahun lalu,” katanya.

Terbaharu DBKL mengambil tindakan menyita empat hotel di ibu kota yang dikesan menjalankan aktiviti urutan dan khidmat seks.

Tindakan diambil menerusi operasi Ops Patuh terhadap premis komersial di seluruh kawasan ibu kota bagi tempoh 15 Ogos hingga 31 Ogos lalu.

Menurut DBKL, hasil tindakan itu, 30 warga asing ditahan bagi tujuan dokumentasi membabitkan lima warga Vietnam, tujuh warga Thailand, 12 warga Indonesia serta enam rakyat Bangladesh.

Sumber : https://www.inforakyat.net/pengusaha-hotel-bajet-terpaksa-kerjasama-sindiket-pelacuran-untuk-terus-bernafas/

COMMENTS