Bantuan zakat awal persekolahan disediakan MUIP sebanyak RM3 Juta

Bantuan zakat awal persekolahan disediakan MUIP sebanyak RM3 Juta

Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyediakan bantuan menerusi agihan zakat awal persekolahan sebanyak RM3 juta tahun ini berbanding RM1 juta sebelum ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, permohonan secara dalam talian menerusi laman sesawang easnaf.muip.gov.my itu kini dibuka sehingga 28 Februari ini.

Beliau berkata, syarat permohonan bantuan adalah pemohon dalam kalangan asnaf fakir miskin dan asnaf mualaf yang berdaftar di negeri ini sahaja.

Katanya, asnaf yang layak terdiri daripada mereka yang berdaftar dengan MUIP sebagai penerima bantuan bulanan dan tahunan.

“Bantuan awal persekolahan diwujudkan bagi membantu ibu bapa daripada golongan asnaf untuk membuat persiapan bagi sesi persekolahan akan datang, di samping memberi suntikan semangat kepada murid untuk terus menuntut ilmu.

“Kira-kira 34,924 individu layak menerima bantuan awal persekolahan dan bantuan berkenaan antara usaha dilakukan MUIP bagi membantu golongan asnaf secara berterusan di negeri ini,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Kadar bantuan yang ditetapkan bagi agihan zakat awal persekolahan tahun ini ialah RM100 bagi prasekolah, sekolah rendah (RM150) dan sekolah menengah, RM200.

BACA JUGA:

Kemalangan babitkan tiga kenderaan korbankan dua rakan sekerja

Pelajar perlu sediakan ‘skil’ tertentu untuk digunakan pada masa hadapan.. Ini 7 skil yang mesti diketahui dan ditanam dalam diri mereka

Wanita cedera selepas terjun dari tingkat atas rumah yang terbakar

+ posts