Bapa cuba bunuh, tikam perut bayi kandung menangis dijel 10 tahun

Bapa cuba bunuh, tikam perut bayi kandung menangis dijel 10 tahun

Tindakan seorang bapa yang cuba membunuh dengan menikam perut bayi perempuan kandungnya minggu lalu, berakhir apabila dia dipenjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Safwan Shafie, 27, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 12 Disember lalu. Selesai prosiding tertuduh dihantar ke Penjara Bentong di Pahang.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Safwan didakwa cuba membunuh dengan menikam perut bayi perempuannya berusia 18 bulan di sebuah unit Flat Puchong Permai, Puchong di sini pukul 4.30 petang pada 12 Disember lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, ketika ditunjukkan gambar-gambar tempat kejadian termasuk gambar mangsa, tertuduh dilihat menangis teresak-esak.

Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman rendah dan ringan dengan alasan insaf dengan apa yang telah dilakukan.

“Saya mohon hukuman ringan dan serendah-rendahnya sebab saya sudah insaf,” katanya sambil menangis.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Shanur Farahin Shapri memohon mahkamah mengenakan hukuman yang paling berat memandangkan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah sangat serius.

“Dalam kes ini, mangsa yang merupakan anak kandung tertuduh telah mengalami kecederaan yang mana terdapat luka sepanjang lima sentimeter. Sebagai seorang bapa, tertuduh sepatutnya menjadi pelindung terhadap mangsa namun dia bertindak sebaliknya, ” kata Shanur.

KOSMO! Online 12 Disember lalu melaporkan seorang bayi perempuan terburai usus akibat ditikam dalam satu kejadian di Flat Puchong Permai di sini.

Suspek berusia 27 tahun itu tiba-tiba mengamuk sebelum bertindak menikam mangsa berusia 18 bulan pada pukul 3.45 petang.

Satu sumber berkata, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan seorang kanak-kanak ditikam pada bahagian perut oleh bapanya pada pukul 4.30 petang

Sumber:https://www.kosmo.com.my/2020/12/17/bapa-cuba-bunuh-tikam-perut-bayi-kandung-menangis-dijel-10-tahun/

COMMENTS