Baru pasang karpet dah banjir, masjid rugi RM100,000.Masjid Mahmudi Kedai Melor, di sini, kerugian lebih RM100,000 akibat banjir terburuk yang melanda di kawasan itu pada Isnin lalu.
Imam Tua Masjid Mahmudi Kedai Melor, Suhaimi Ibrahim berkata, kerugian membabitkan pelbagai peralatan dan harta benda masjid yang rosak susulan air banjir memasuki seluruh kawasan masjid.
Katanya, selain permaidani dan sejadah, tempat penyimpanan barang, tempat parkir van jenazah dan pagar turut rosak.
“Dalam kejadian banjir pada jam 4 pagi Isnin lalu, kami melihat rakaman menerusi kamera litar tertutup (CCTV) masjid mendapati air naik paras dada orang dewasa sehingga menyebabkan seluruh kawasan masjid ditenggelami air banjir.
“Masjid yang berusia 35 tahun ini terletak di tepi Sungai Melor dan pada ketika itu hujan lebat berterusan menyebabkan paras air sungai naik mendadak dan memasuki kawasan masjid,” katanya ketika ditemui di Masjid Mahmudi Kedai Melor, di sini, hari ini.
Suhaimi berkata, tiga bulan lalu pihak pengurusan masjid baru sahaja menggantikan permaidani baharu di ruangan solat dengan kos hampir RM30,000 dan ia belum habis dibayar.
“Ini banjir terbesar dalam tempoh lima tahun selepas kejadian terakhir pada tahun 2017, namun ia tidak sebesar kali ini,” katanya.
Dalam pada itu, Suhaimi berkata, program gotong-royong membersihkan masjid itu diadakan secara berperingkat sejak tiga hari lalu membabitkan hampir 100 individu terdiri daripada ahli kariah masjid, sukarelawan, penduduk kampung dan juga badan bukan kerajaan (NGO).
“Kami akan berusaha menggunakan dana tabung masjid sedia ada bagi menggantikan peralatan yang rosak dan melengkapkan semula kemudahan di masjid mengikut kemampuan bagi keselesaan jemaah,” katanya.
Katanya, bagi membolehkan penduduk kampung sekitar menunaikan solat Jumaat pada hari ini, pihak pengurusan masjid terpaksa menggunakan khidmat kontraktor untuk mencuci serta mengeringkan karpet dengan bayaran upah sebanyak RM6,000.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi akaun Bank Islam bernombor 03018010067089 atas nama Masjid Mahmudi Melor.
BACA:
Video tular tikus jilat ayam goreng, KKM mula siasat