Beberapa faktor menyebabkan 100 nelayan terjejas teruk, hasil turut merosot 100 peratus

Beberapa faktor menyebabkan 100 nelayan terjejas teruk, hasil turut merosot 100 peratus.

Lebih 100 nelayan negeri ini terjejas teruk dengan pendapatan dan hasil tangkapan merosot sehingga 100 peratus sejak seminggu lalu disebabkan faktor peralihan monsun angin timur dan pencerobohan nelayan asing.

Jika sebelum ini hasil tangkapan nelayan mampu mencecah sehingga satu tan metrik sehari, namun jumlah itu tinggal 50 kilogram manakala purata pendapatan seorang nelayan pula hanya RM40 sehari.

Kesan daripada kemerosotan hasil laut itu menyebabkan harga ikan melambung tinggi dan sebagai contoh ikan kembung yang sebelum ini berharga sekitar RM3 hingga RM4 sekilogram namun mencecah sehingga RM16 sekilogram ketika ini.

Seorang peraih ikan, Mohd Shukor Chin, 60, berkata, situasi dihadapi nelayan kali ini lebih teruk berbanding tahun-tahun sebelum ini sehingga menyebabkan pendapatan terjejas ketara.

Katanya, kemerosotan itu disifatkan paling buruk sejak bergelar peraih ikan 26 tahun lalu.

“Faktor perubahan angin monsun timur laut ini dijangka mungkin berterusan sehingga akhir Mac ini dan pendapatan nelayan dijangka terus terjejas.

“Malah faktor nelayan asing yang menangkap ikan di perairan di sini juga menjadi antara punca,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, seorang nelayan di Kuala Sungai Baru, Abdul Hamid Mokhtar, 57, berkata, kebiasaannya dia mampu me­raih sekitar RM3,000 hingga RM4,000 sebulan namun berkurangan mendadak dengan purata sekitar RM1,000 sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, pendapatan diperoleh itu tidak berbaloi memandangkan nelayan perlu mengeluarkan kos minyak dan makanan sekitar RM100 sehari untuk turun ke laut.

“Kadangkala ada nelayan yang keluar awal pagi sehingga berjam-jam di laut akhirnya pulang ta­ngan kosong,” katanya.

Sementara itu seorang lagi nelayan, Hamzah Ahmad, 63, berkata, aktiviti pencerobohan bot nelayan luar yang mengaut hasil laut seperti siput retak seribu di kawasan perairan negeri ini juga menjadi antara faktor menyebabkan berlakunya permasalahan tersebut.

Hamzah berkata, nelayan terlibat kebiasaannya melakukan pencerobohan pada waktu malam bagi menggelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

“Apabila mereka melakukan pencerobohan menggunakan pukat, ia akan merosakkan ekosistem dasar laut dan menyebabkan hidupan seperti udang, ikan dan lain-lain tidak lagi berada di perairan ini kerana keadaan tanah menjadi busuk,” katanya.

BACA JUGA:

Tiga beradik maut dalam kemalangan, babitkan tiga kenderaan di Lahad Datu

Umum kadar zakat fitrah, Sabah antara negeri terawal

Ramai ibu bapa yang tidak mahu KKM tambah PPV Covid-19 untuk anak-anak

+ posts