Bekas Menteri Pendidikan, Maszlee bantu 1,000 murid keciciran

Bekas Menteri Pendidikan, Maszlee bantu 1,000 murid keciciran

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik melancarkan program pembiayaan awam bagi menyelamatkan murid yang keciciran dari sekolah ketika musim wabak Covid-19.

Diberi nama Untuk Malaysia, kempen pendidikan itu memerlukan sekurang-kurangnya dana RM250 bagi setiap murid dan Maszlee berhasrat membantu sekurang-kurangnya 1,000 murid pada peringkat pertama.

Di bawah program berkenaan, setiap sukarelawan atau guru akan dilatih sebelum bergerak mengajar murid membaca, menulis dan mengira, dengan harapan program itu dapat menyelamatkan mereka daripada tercicir pelajaran di sekolah.

Setiap guru akan membimbing dua orang murid yang tinggal dalam lingkungan 10km dari rumah mereka.

“Kita masih masih mempunyai kanak-kanak yang ketinggalan pelajaran yang masih tidak boleh membaca, menulis dan mengira, dan mereka perlu diselamatkan. Maka Untuk Malaysia menyediakan ruang intervensi.

“Secara purata, dianggarkan anak-anak kita telah kehilangan 185 hari persekolahan, bersamaan dengan 4,440 jam.

“Ini bererti, tanpa intervensi segera, murid-murid cicir ini akan terus tercicir dan tertinggal dalam arus pendidikan negara,” katanya di Facebook semalam.

Diberi nama Untuk Malaysia, kempen pendidikan itu memerlukan sekurang-kurangnya dana RM250 bagi setiap murid
Program Untuk Malaysia bermula dengan meminta orang awam mengisi borang dalam talian bagi melaporkan kes keciciran murid di kawasan kejiranan mereka. Apa yang mengejutkannya, dalam 72 jam, ia menerima lebih 1,000 laporan.

Sukarelawan – yang dipanggil sebagai ‘change maker’ (pembuat perubahan) – akan membantu kanak-kanak terlibat sebanyak dua kali seminggu antara Februari dan November.

Selain mengajar kemahiran asas, mereka juga akan mempupuk minat kanak-kanak terhadap pendidikan.

“Kepada semua rakyat Malaysia, ayuh bersama kami, bantu selamatkan 1,000 murid cicir di seluruh negara.

“Berkongsilah sedikit rezeki dan peluang kita untuk selamatkan mereka. Ubah pendidikan mereka, ubah masa depan mereka,” kata Maszlee yang juga ahli parlimen Simpang Renggam.

Program itu menganggarkan memerlukan sekurang-kurangnya RM240 untuk menampung kos setiap murid bagi setiap bulan. Daripada jumlah itu, RM160 ialah kos intervensi, RM20 ialah kos bahan mengajar, dan RM60 lagi kos kebajikan, operasi dan kecemasan.

Berdasarkan perangkaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), setakat 31 Julai 2020, terdapat 2,741,837 pelajar mendaftar di peringkat pendidikan rendah dan 2,037,433 di peringkat pendidikan menengah.

Wabak Covid-19 dan pelbagai fasa perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan sejak Mac tahun lepas menyaksikan ribuan pelajar tidak dapat bersekolah dan beralih kepada pembelajaran secara dalam talian dari rumah.

Kajian baru-baru ini oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) terhadap keluarga miskin bandar di Lembah Klang mendapati jumlah pelajar yang kembali ke sekolah menurun ketika sesi dibuka semula pada Julai lalu.

Ketika Malaysia bergelut dengan gelombang ketiga wabak Covid-19, KPM mengumumkan sekolah hanya akan dibuka untuk pelajar yang terlibat dengan peperiksaan utama sahaja, manakala pelajar lain pula meneruskan pembelajaran secara dalam talian.

Berita penuh: https://www.malaysiakini.com/news/560875

COMMENTS