Bekas menteri PH minta penjelasan butiran peruntukan untuk pertahanan negara

Bekas menteri PH minta penjelasan butiran peruntukan untuk pertahanan negara

Bekas menteri PH minta penjelasan butiran peruntukan untuk pertahanan negara
Bekas Menteri dan Timbalan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Liew Chin Tong meminta kerajaan memperjelaskan beberapa persoalan yang timbul daripada intipati pembentangan Belanjawan 2021 yang dilaksanakan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebentar tadi.

Meskipun Mohamad dan Chin Tong menerima baik beberapa teras usaha kerajaan untuk mempertingkatkan keupayaan pertahanan negara, mereka meminta kerajaan menjelaskan apakah jenis aset-aset Angkatan Tenteran Malaysia (ATM) yang bakal dibaik pulih.

“Hampir setengah daripada peruntukan RM4.5 bilion (sekitar RM2.3 bilion) telah ditujukan khas untuk pemulihan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Sebaik-baiknya pihak Kerajaan perlu memberi butiran lebih terperinci untuk menyatakan, mengikut cabang perkhidmatan, apakah aset-aset tersebut yang akan dibaikpulih?

“Sebaik-baiknya butiran ini diberi ketika waktu perbahasan nanti. Kami juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengingatkan sekali lagi pihak Kerajaan untuk turut memikirkan isu jangka panjang berkaitan aset-aset ATM,”kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad dan Chin Ting turut menuntut penjelasan sama ada kerajaan turut komited untuk membangkitkan keupayaan pertahanan siber ATM susulan kerajaan memperuntukkan RM30 juta kepada syarikat Cyber Security Malaysia bagi mengukuhkan keselamatan siber negara.

“Pada bulan September tahun ini, ketika ucapan Hari Ulang Tahun ke-87 ATM, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Haji Affendi Buang, beliau memaklumkan TUDM telah mengumumkan penubuhan Pemerintahan Siber ATM khas untuk menangani aktiviti siber elektromagnetik.

“Kami berharap pihak kerajaan turut bersedia untuk memastikan penubuhan Pemerintahan Siber ATM diberikan perhatian yang secukupnya,”kata mereka.

Selain itu, Mohamad dan Chin Tong turut meminta penjelasan terhadap usaha kerajaan bagi membaik pulih ribuan unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang tidak selamat diduduki.

“Pada tahun 2019, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah memperuntukkan RM50 juta untuk membaiki hampir 2000 unit RKAT.

“Pada tahun 2020, peruntukkan RM150 juta telah disediakan dan sebanyak 6000 unit RKAT disasarkan untuk kerja-kerja pembaikan.

“Kami berharap sementara kerajaan ingin bina 1000 unit RKAT baru tahun hadapan, unit RKAT lama yang tidak selamat diduduki turut diberikan perhatian dan peruntukan juga. Hakikatnya, unit-unit baru ini juga akan memerlukan peruntukkan penyelenggaraan dalam masa akan datang,”katanya.

Berita Penuh :https://www.sinarharian.com.my/article/108852/KHAS/Belanjawan-2021/Tengku-Zafrul-ajak-ahli-Parlimen-rakyat-bermuafakat-atas-perkara-dasar

COMMENTS