Bekas pengurus besar kanan FGV Holdings Berhad sekali lagi didakwa di Mahkamah

Bekas pengurus besar kanan FGV Holdings Berhad sekali lagi didakwa di Mahkamah

Seorang bekas pengurus besar kanan FGV Holdings Berhad sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan sebanyak RM10,000 pada Mac tahun lalu.

Norazam Abdul Hameed, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu selaku ejen FGV Holdings Berhad iaitu Pengurus Besar Kanan di Plantations Sustainability Department telah secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri iaitu wang berkenaan daripada Mohd Rizal Md Kassim.

Ia didakwa sebagai satu upah bagi melakukan suatu perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal iaitu mengesyorkan pelantikan Syarikat MRA Sustainable Solution sebagai auditor bagi Pensijilan Kelestarian dan Karbon Antarabangsa (ISCC) untuk lapan kilang sawit.

Ia adalah Kilang Keratong 9, Palong Timur, Maokil, Bukit Sagu, Lepar Hilir, Serting Hilir, Lepar Utara 06 dan Serting.

Kesalahan itu didakwa berlaku di parkir Jalan Prima Saujana, Taman Prima Saujana, Kajang di sini pada jam 10.45 hingga 11.05 pagi, 2 Mac 2019 lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Peguam, Mohd Hisyam Md Nen yang mewakili tertuduh, memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak bekerja sejak setahun setengah lalu dan merupakan penanggung tunggal keluarga serta perlu menyara tiga anak berusia 18 hingga 22 tahun.

“Semalam anak guam saya didakwa atas kesalahan sama di Kuala Lumpur hari ini di Shah Alam dan saya difahamkan ada satu lagi pertuduhan akan dibuat di Seremban, Negeri Sembilan esok.

“Saya mohon kepada mahkamah agar jaminan diberi pada kadar RM5,000 kerana ia sekadar untuk memastikan kehadiran anak guam ke mahkamah dan bukan satu bentuk hukuman sebelum perbicaraan,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nor Diana Nor Azwa mencadangkan kadar ikat jamin kepada tertuduh sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

“Pihak pendakwaan memohon kes ini dapat dipindahkan dan dibicarakan bersama di Mahkamah Kuala Lumpur memandangkan tertuduh didakwa atas kesalahan sama di sana semalam,” katanya.

Rihaida menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan mematuhi syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes perbicaraan selesai.

Berita Penuh :https://www.sinarharian.com.my/article/106256/BERITA/Mahkamah/Bekas-pengurus-besar-kanan-FGV-Holding-sekali-lagi-didakwa-terima-rasuah

COMMENTS