Bekas Speaker bidas Ali Biju isu darurat

Bekas Speaker bidas Ali Biju isu darurat

Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mempertikaikan tindakan seorang Timbalan Menteri dari Sarawak yang menyamakan pelaksanaan darurat seperti butang kecemasan dalam logik kejuruteraan.

Beliau berkata, Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Ali Anak Biju tidak harus menempelak Tommy Thomas dan menganggap bekas Peguam Negara itu cuba menidakkan logik rasional seorang jurutera.

Ia selepas kenyataan Tommy yang menyifatkan sekiranya kerajaan mengisytiharkan darurat, tindakan itu seperti tidak berperlembagaan dan tiada hujah rasional menyokong tindakan tersebut.

Menurut Ariff, Tommy sama sekali tidak mempunyai ijazah kejuruteraan seperti Ali Biju dan hanya mempunyai pendidikan berlatarbelakangkan undang-undang.

“Saya harus menganggap dia (Tommy) sangat berkelayakan untuk mengulas dari sudut perlembagaan berhubung cubaan menguatkuasa perintah darurat berdasarkan Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Saya fikir Timbalan Menteri (Ali Biju) tidak mempunyai ijazah undang-undang atau berkelayakan secara sah. Oleh itu, tidak perlu melayan prinsip butang kecemasan ini mengikut tafsiran perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Ariff berkata, perbalahan kini menjadi sedikit teknikal apabila pakar Perlembagaan pula tampil ke hadapan dan berpendapat Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai budi bicara untuk menolak nasihat Kabinet untuk mengeluarkan Pengisytiharan Darurat di bawah Perkara 150 (1).

Beliau mempersoalkan, sama ada Perlembagaan Persekutuan begitu statik sehingga Agong perlu bersetuju dengan nasihat yang diberikan apabila nasihat itu dibuat berdasarkan dasar yang tidak masuk akal.

“Panjangkan hujah dengan lebih jauh. Bagaimana jika nasihat itu sendiri dipersoalkan? Adakah jawapan dalam Perlembagaan Persekutuan itu mudah? Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai budi bicara dan mesti bersetuju walau apa pun?

“Inikah yang dimaksudkan dengan Raja Berperlembagaan? Adakah kita lupa peranan Raja Berperlembagaan sebagai sebahagian pengaruh dalam sistem semak dan imbang yang rumit merangkumi prinsip-prinsip asas Perlembagaan?” katanya lagi.

Beliau juga menegaskan, pengisytiharan darurat sama sekali tidak kena-mengena dengan prinsip kejuruteraan

Berita penuh :https://malaysiadateline.com/bekas-speaker-dewan-rakyat-bidas-ali-biju-isu-darurat/

COMMENTS