Berhenti bazirkan tenaga kejar bayang-bayang

Berhenti bazirkan tenaga kejar bayang-bayang

Kegagalan pembangkang menolak Belanjawan 2021 sekali gus menjatuhkan Perikatan Nasional (PN) mengajar Pakatan Harapan (PH) agar mereka tidak membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang atau membuang masa dengan ahli parlimen oportunis.

Dalam satu kenyataan bersama, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata kelompok terbabit hanya memperalatkan PH untuk kepentingan peribadi agar memperolehi tawaran yang lebih lumayan daripada kerajaan.

“PH harus berdepan dengan realiti ini. Perlu ada suatu anjakan politik semula bagi tumpuan kepada menyatukan rakan-rakan kita di kalangan ahli parlimen pembangkang yang berdiri bersama kita pada hari Selasa.

“PH seharusnya tidak membuang masa dengan ahli parlimen kerajaan oportunis, dan hanya memperalatkan PH demi kepentingan peribadi mereka sendiri agar memperolehi tawaran yang lebih lumayan daripada kerajaan PN,” kata mereka.

Mohamad dan Lim juga berkata masa dan sumber yang ada harus digunakan untuk mencari persamaan dalam kalangan rakan dan sekutu PH untuk menggerakkan perjuangan bersama rakyat berdasarkan nilai demokrasi yang utuh, tadbir urus yang baik, antirasuah, kemajuan ekonomi dan keadilan sosial.

Dengan kata lain, kata ahli parlimen terbabit, daripada 92 ahli parlimen PH, gabungan itu harus memperluas lingkungan untuk menumpukan perhatian kepada 16 ahli parlimen lain yang bersama-sama mengundi menolak Belanjawan 2021 baru-baru ini untuk membentuk PH Plus.

“Undian belanjawan pada Selasa mengajar kita untuk tidak membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang lebih daripada 111 MP (ahli parlimen) dengan berdasarkan hanya 92 ahli parlimen PH.

“Andai kata (usaha meluaskan lingkungan itu) berdasarkan 108 ahli parlimen PH Plus, betapa kuat laginya!”kata kenyataan itu.

Kekal teguh sejak Mac

Selasa lalu Belanjawan 2021 diluluskan dengan majoriti tipis apabila ia hanya dibezakan dengan tiga undi di antara penyokong kerajaan dan pembangkang.

Seramai 111 ahli parlimen menyokong manakala 108 lagi menolaknya.

Belanjawan itu diluluskan di tengah-tengah kemelut negara yang menjangkakan kerajaan PN akan tumbang apabila Belanjawan 2021 ditolak.

Sehari sebelum bacaan kali ketiga berlangsung di Dewan Rakyat bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah tampil menawarkan diri untuk menerajui negara jika PN tumbang.

Tengku Razaleigh yang juga pengerusi jemaah penasihat Umno turut mengulangi pendiriannya untuk menolak belanjawan tersebut.

Sebelum ini Presiden PKR merangkap Pengerusi PH Anwar Ibrahim mengumumkan mendapat sokongan yang kukuh dan meyakinkan untuk membentuk kerajaan baru.

Kata Lim dan Mohamad, Selasa lalu adalah hari mengecewakan bagi pemimpin dan penyokong PH yang berharap Belanjawan 2021 dapat dikalahkan pada bacaan ketiga di parlimen.

Menurut mereka, rakyat mahu mandat yang mereka berikan kepada PH pada PRU lalu dikembalikan selepas gabungan tersebut dijatuhkan pada akhir Feb lalu.

“PH menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai calon perdana menteri dan boleh mendapatkan sokongan daripada ahli parlimen kerajaan dengan syarat mereka bukan terdiri daripada ahli parlimen kleptokrat terutamanya Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak.

“Undian (pada 15 Dis) jelas menunjukkan 108 ahli parlimen yang menentang PN adalah jumlah yang sama kekal teguh bersama PH pada Mac 2020.

“Tidak ada satu pun ahli parlimen kerajaan mengundi (menolak belanjawan) bersama PH, termasuk mereka yang kononnya menyokong Anwar.

“Jelas ahli parlimen kerajaan ini sangat pandai dengan permainan politik untuk mengaut kelebihan dan meraih keuntungan daripada kerajaan PN.

“Tidak ada satu (seorang) pun ahli parlimen kerajaan yang mengundi bersama PH termasuk mereka yang kononnya menyokong Anwar.

“Jelas ahli parlimen kerajaan ini sangat pandai dengan permainan politik untuk mengaut kelebihan dan meraih keuntungan daripada kerajaan PN,” kata Mohamad dan Lim lagi.

Sumber:https://www.malaysiakini.com/news/555583

COMMENTS