Berilah PN peluang – Taki

Berilah PN peluang – Taki

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu diberi peluang memerintah sehingga cukup penggal bagi membuktikan segala dasar yang dirancang dapat dilaksanakan demi kepentingan rakyat di negara ini.

Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, tidak ada keperluan mendesak untuk diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) secara tergesa-gesa.

Kata Setiausaha Agung Pas itu, kerajaan PN baharu setahun memerintah dan perlu diberi peluang meneruskan dasar-dasar yang dirancang.

“Sesebuah kerajaan perlu diberi peluang untuk membuktikan segala dasar yang dirancang untuk diimplimentasikan macam kerajaan pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sekarang ini.

“Kerajaan PN baru setahun, (dan) perlu diberi peluang untuk meneruskan dasar-dasar dan sebagaimana yang kita maklum pilihan raya ini bukan sesuatu perkara yang mudah (kerana) melibatkan semua orang.

“Kita baru tiga tahun pilihan raya, nak (adakan) pilihan raya pula melibatkan rakyat… kemudian lebih-lebih lagi dalam keadaan (penularan) COVID-19 ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Lawatan Kerja Pengerusi Bersama Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat Covid-19 Negeri Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa tempoh maksimum bagi sesuatu kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri adalah lima tahun.

“Lima tahun itu dikira daripada hari pertama persidangan Parlimen atau persidangan DUN (Dewan Undangan Negeri), dia tak boleh lebih daripada lima tahun… lima tahun kalau tidak dibubarkan maka terbubar dengan sendirinya.

“Jadi, itu terpulanglah kepada peringkat persekutuan, ataupun Perdana Menteri dan juga jemaah menteri dalam tempoh tu (sama ada) hendak minta Yang Dipertuan Agong bubarkan,” tambahnya.

Berita penuh: https://www.astroawani.com/berita-politik/beri-peluang-kerajaan-pn-buktikan-dasar-perancangan-dapat-dilaksanakan-takiyuddin-288143

COMMENTS