Bermula dengan Langkah Sheraton, diakhiri Langkah terdesak

Bermula dengan Langkah Sheraton, diakhiri Langkah terdesak

Alangkah bagusnya jika artikel ini diberi tajuk “Tan Sri Muhyiddin Yassin yang saya kenali”. Namun sayangnya saya tidak layak berkata demikian kerana saya tidak kenal beliau secara dekat. Apa lagi secara peribadi.

Kalaulah saya benar-benar kenal beliau secara rapat lalu berhak membuat pengakuan sebegitu, tentunya akan membawa kebanggaan kepada saya. Penulisan yang menceritakan Muhyiddin yang saya kenali pasti mendapat perhatian ramai. Khususnya pada waktu ini – ketika beliau dihimpit keperitan politik.

Hakikatnya, saya ‘mengenali’ Muhyiddin seperti kebanyakan rakyat ‘mengenali’ beliau iaitu sebagai seorang pemimpin politik. Kita pandang dari jauh.

Cuma sebagai wartawan saya punyai sedikit kelebihan – bertuah dapat mengikuti perjalanan politik beliau dan memperolehi maklumat sedikit sebanyak daripada orang yang agak rapat dan pernah bekerja dengan beliau. Ini membantu saya menulis.

Pada waktu Muhyiddin sudah melepaskan jawatan Perdana Menteri, teringat saya ketika Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan Perdana Menteri ke-5 pada 2009.

Pak Lah didesak berundur akibat prestasi BN pimpinannya yang tidak memberangsangkan pada PRU 2008. Walaupun BN kekal memerintah tetapi tidak dapat “super majority” atau 2/3 di Parlimen.

Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu masih dalam Umno meskipun sudah “bersara”, melancarkan serangan hebat ke atas Abdullah, yang beliau pilih untuk menggantikannya pada 2003.

Antara pemimpin Umno yang menjadi penyokong kuat Mahathir menentang Abdullah ialah Muhyiddin.

Beliau yang pada masa itu salah seorang naib presiden Umno, memainkan peranan kuat dalam gerakan mendesak Abdullah letak jawatan. Serangan awal dibuat menerusi satu ucapan yang disampaikan pada sebuah majlis di Singapura. Disusuli asakan demi asakan. Akhirnya Pak Lah tunduk. Sebagai pengarang berita, saya mengikuti peristiwa itu dengan rapi.

Dalam kalangan Umno, Muhyiddin dikenali sebagai Abang Din.

Pada 2015, ketika isu 1MDB memanas, Abang Din dan Che Det bergabung lagi menentang Najib Razak, Perdana Menteri dan presiden Umno masa itu, yang terpalit dengan kemelut itu.

Abang Din waktu itu timbalan presiden Umno. Menyertai beliau dan Mahathir menentang Najib, seorang lagi naib presiden parti, Shafie Apdal.

Mahathir menyerang kuat. Begitu juga Muhyiddin yang melepaskan pelbagai tuduhan dan dakwaan terhadap Najib.

Saya pernah menulis ini semua. Terutama untuk portal The Malaysian Insider. Apa pun, saya mengulas rasa kecewa Muhyiddin yang kuasanya sebagai timbalan presiden parti semakin terhakis. Namun ini sudah diramal banyak pihak sebaik beliau dilucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Muhyiddin mendapati dirinya dikecam kawan-kawan lamanya dalam Umno yang ada kedudukan. Pada masa yang sama, beliau mengaku setia pada parti dan menganggap dirinya “Umno totok”.

Lantas, beliau merungut orang Umno tidak mahu bersuara sepertinya. “Semua takut hilang jawatan,” katanya. Ada benar kata kata beliau. Namun ada orang Umno berpendapat Muhyiddin sendiri harus dipersalahkan atas terjadinya situasi demikian.

Seorang aktivis Umno pro-Muhyiddin pernah memberitahu saya “penyokong Muhyiddin keliru dan juga kecewa kerana beliau dilihat sebagai ambil satu langkah ke hadapan tetapi ambil dua langkah ke belakang”.

Antara kata-kata si aktivtis yang saya petik untuk artikel saya pada 29 Oktober 2015 berbunyi: “Ramai berharap Tan Sri akan ‘go all out’ tetapi beliau kendur. Gelilah macam ni. Kalau ‘all out’ ketika itu Tan Sri akan dapat sokongan hebat. Ada gelombang.”

Beliau merujuk tindakan Muhyiddin membuat lontaran tetapi tidak ada tindakan susulan.

Penulis blog politik Shabudin Husin menulis: “Abang Din haruslah berani sikit. Jangan jadi penyu lagi. Jangan duk rumah dan jangan selalu ke luar negara.”

Shabudin mahu Muhyiddin mengepalai satu gerakan untuk memperbetulkan keadaan suram yang dicanang Muhyiddin sendiri. Itu tidak terjadi. Sebaliknya Muhyiddin kerap ke luar negara.

Sehinggalah akhirnya beliau dipecat daripada Umno pada 2016 atas “kesalahan disiplin”.

Apabila Mahathir menubuhkan Bersatu, Muhyiddin menjadi presiden parti. Mahathir pengerusi. Bersatu menyertai PKR, DAP, dan Amanah dalam Pakatan Harapan. Gabungan itu dengan kerjasama Parti Warisan Sabah menumbangkan BN pada PRU-14 pada 2018.

Dalam kerajaan Pakatan Harapan, Muhyiddin dilantik Menteri Dalam Negeri. Mahathir Perdana Menteri.

Hanya 22 bulan kemudian, Muhyiddin berpakat dengan kumpulan serpihan PKR yang diketuai Azmin Ali untuk merampas kuasa menerusi apa yang dikenali Langkah Sheraton. Sehingga artikel ini ditulis, Mahathir masih berpegang kepada kenyataannya bahawa Muhyiddin telah mengkhianati beliau.

Menggantikan kerajaan Pakatan Harapan ialah kerajaan Perikatan Nasional. Muhyiddin dilantik Perdana Menteri. Abang Din digelar “Abah”. Mungkin kerana usia.

Tetapi sokongan majoriti beliau di Parlimen tidak pernah diumumkan secara rasmi. Pun begitu bukan rahsia majoriti itu amat tipis. Itu menghantui Muhyiddin sepanjang tempoh beliau memimpin kerajaannya.

Gabungan Perikatan Nasional itu sendiri agak pelik. Selain dianggotai Bersatu dan PAS, ia juga ada beberapa pemimpin Umno walaupun Umno sebagai parti tidak menyertainya.

Perikatan Nasional ditampung sebagai kerajaan oleh Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah.

Tidak dinafikan majoriti tipis Muhyiddin menyaksikan beliau mengamalkan dasar “jaga hati” sekutunya dalam Perikatan Nasional. Justeru beliau melahirkan Jemaah Menteri yang besar untuk “accommodate” seberapa ramai wakil parti komponen. Ini termasuk mewujudkan empat jawatan menteri kanan tanpa menamakan Timbalan Perdana Menteri.

Ini bagi memastikan tidak ada pihak yang berkecil hati kerana kalangan mereka tidak dilantik sebagai timbalan beliau. Namun akhirnya setelah setahun, Ismail Sabri Yaakob dari Umno dilantik Timbalan Perdana Menteri apabila hubungan Bersatu – Umno meruncing.

Abdul Hadi Awang dilantik Duta Khas Timur Tengah bertaraf menteri untuk menyejukkan hati ahli PAS yang marah presiden mereka tidak ada dalam Jemaah Menteri.

Begitu juga pelantikan orang politik daripada parti sekutu untuk menduduki jawatan besar bergaji lumayan di agensi kerajaan dan GLC. Semua ini dikatakan dilakukan untuk mententeramkan semua pihak dan memastikan sokongan berterusan terhadapnya. Selari dengan strategi “scheme of things”.

Muhyiddin dilihat sebagai seorang Perdana Menteri yang dicengkam sekutu sendiri. Ini dinafikan beliau. Sebaliknya dia mendakwa oleh kerana tidak mahu akur dengan tuntutan pihak tertentu dalam kalangan parti sekutu untuk campur tangan dalam kes mahkamah – beliau tidak disenangi dan ditentang.

Bagaimanapun, Muhyiddin memilih untuk mendedahkan itu hanya baru-baru ini ketika Umno menggorak langkah terhadapnya. Aneh juga beliau tidak mengadu untuk sekian lama kepada pihak berkuasa termasuk SPRM seperti yang dituntut undang-undang.

Apa pun Muhyiddin bijak “mengubah pintu gol” ketika berdepan pihak lawan. Namun baru-baru ini timbul kontroversi mengenai pembatalan Ordinan Darurat. Beliau dilihat menidakkan kenyataan Yang di-Pertuan Agong.

Ramai Ahli Parlimen menarik balik sokongan kepadanya. Dua menteri Umno letak jawatan. Muhyiddin jelas sudah hilang majoriti yang sememangnya tipis.

Apa yang disifatkan langkah terdesak, beliau membuat beberapa tawaran kepada pembangkang supaya usul undi percaya terhadap beliau yang dikatakan akan dibentang di Parlimen bulan depan disokong.

Semua tawaran Muhyiddin ditolak. Satu tamparan ke atasnya. Namun tamparan lebih hebat ialah apabila Istana Negara diberitakan mengutus surat kepada Speaker Parlimen meminta pengesahan jumlah sokongan Ahli Parlimen yang Muhyiddin ada.

Boleh dirumuskan dengan itu, semua jalan buat beliau tertutup. Kecuali satu. Kita sudah tahu apa jalan itu.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2021/08/16/abah-langkah-sheraton-yang-berakhir-dengan-langkah-terdesak/

COMMENTS