Biarlah Tun M kata apa, itu pandangan dia – Tuan Ibrahim

Biarlah Tun M kata apa, itu pandangan dia – Tuan Ibrahim

KOTA BHARU: PAS menyifatkan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PAS dan UMNO rapuh, hanya pandangan peribadi.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pertemuan antara semua presiden parti sudah dibuat dan beliau yakin gabungan itu boleh dimantapkan lagi.

“Kita akan memperkukuhkan dan sebenarnya kita lihat ada perundingan di peringkat Muafakat Nasional (MN) antara PAS dan UMNO.

“Kita juga ada pertemuan antara ketiga-tiga presiden parti (Perikatan Nasional). Tun Mahathir mesti kata macam itu, kalau dia kata kita kukuh, dia pula yang tidak kukuh. Pandangan peribadi dia saja,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tuan Ibrahim turut berkata, PAS tetap dengan pendirian memperkukuhkan MN dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN) walaupun ada segelintir pihak yang menolak penyatuan itu.

Beliau berkata, segala agenda yang perlu dibuat, dibangkitkan dalam perbincangan dan dicari penyelesaian manakala pada masa sama mengharapkan ketiga-tiga parti masih bersama.

“Isunya ialah (agihan) kerusi. Saya tengok sebenarnya ada ruang untuk kita bincang dan bagi saya mudah saja, apa-apa perkara pun kalau ada masalah, duduk bersama bincang.

“Pertemuan itu penting, di meja rundingan mungkin ada 10 hingga 20 peratus (masalah) yang agak kritikal tapi 80 peratus selesai,” katanya.

Dalam perkembangan dakwaan memfitnah dilakukan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) berkata, fakta yang dikemukakan daripada penulisan itu tidak menampakkan realiti yang berlaku.

Beliau turut mempersoalkan kenapa ada beberapa isu contohnya membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng langsung tidak disentuh, sekali gus menimbulkan banyak pertikaian.

“Saya lihat tulisan beliau dipertikaikan banyak pihak dan fakta yang diberi tidak seperti realiti yang berlaku bahkan ada yang komen peguam negara tidak sepatutnya menulis dalam keadaan sekarang,” katanya.

Sumber: BH

COMMENTS