Bicara kes pengubahan wang Penasihat Undang-Undang UMNO mula Julai

Bicara kes pengubahan wang Penasihat Undang-Undang UMNO mula Julai

Perbicaraan kes Penasihat Undang-Undang UMNO Datuk Mohd Hafarizam Harun yang menghadapi tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta didakwa diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, akan bermula Julai depan.

Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mohd Hafarizam berkata Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin ketika sebutan kes itu semalam menetapkan 1 dan 2 Julai untuk perbicaraan.

“Pihak pendakwaan akan mengemukakan kira-kira 20 saksi untuk memberi keterangan. Mahkamah juga menetapkan 10 Mac untuk sebutan semula kes,” kata peguam itu ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Hafarizam, 49, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM7.5 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib bertarikh 16 April 2014, yang dimasukkan ke dalam akaun firma guamannya, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Peguam itu yang mewakili Najib dalam beberapa kes saman sivilnya didakwa melakukan perbuatan tersebut di CIMB Bank Berhad, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail di sini, pada 17 April 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Mohd Hafarizam didakwa menerima wang berjumlah RM4 juta dan RM3.5 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib bertarikh 7 November 2014 dan 21 Januari 2015 yang dimasukkan ke dalam akaun firma guaman sama.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara 12 November 2014 dan 12 Februari 2015 di tempat sama, mengikut Seksyen 4(1)(b) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/02/673509/bicara-kes-pengubahan-wang-haram-hafarizam-mula-julai

COMMENTS