BMW M3 bakal jadi kenderaan rasmi PDRM?

BMW M3 bakal jadi kenderaan rasmi PDRM?

Sejak dahulu lagi PDRM mempunyai beberapa buah kenderaan menarik yang digunakan dalam membantu pihak mereka menjalankan tugas mahupun menjadi kenderaan pengiring untuk majlis-majlis rasmi negara.

Pagi ini orang ramai digemparkan dengan dua buah keping gambar dirakam di satu lokasi tertutup berlegar-legar di media sosial menunjukkan sebuah BMW M3 yang sudah siap menjadi ‘kereta polis’.

Gambar-gambar itu telah meraih perhatian ramai yang kagum serta teruja dengan kenderaan baharu yang bakal digunakan oleh pihak PDRM nanti. Tidak kurang juga ada yang menjangkakan PDRM bakal menggunakan kereta berkuasa tinggi lain pada beberapa tahun akan datang.

Sedikit info spesifikasi BMW M3 — selain mempunyai gril hadapan yang besar, kereta segmen Grand Tourer ini dikuasakan dengan enjin 3.0-liter 6-silinder, 473hp, rear-wheel drive dan mampu memecut dari 0km/j ke 100km/j dalam masa 3.5 saat.

Nampaknya kekuatan kenderaan pihak keselamatan negara semakin bertambah baik dari semasa ke semasa. Antara kereta-kereta sport yang digunakan oleh PDRM sebelum ini ialah Mitsubishi Lancer Evolution X dan Honda Civic FK8 Type R.

Setakat artikel ini ditulis, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak PDRM mengenai gambar BMW M3 yang ‘hangat’ tular di media sosial ketika ini.

COMMENTS