Bolehkah Muhyiddin akan mendapat “kemenangan” dalam undian Bajet

Bolehkah Muhyiddin akan mendapat “kemenangan” dalam undian Bajet

Menjunjung kasih dan taat kepada titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong semalam tentang kepentingan Bajet 2021 untuk tahun depan, oleh sebab ini pada hemat saya Bajet 2021 tersebut perlu dibuat dan dibentang oleh Perdana Menteri dan kerajaan yang baru.

Ini memandangkan kerajaan dan Perdana Menteri yang sedia ada adalah goyah, tidak mempunyai sokongan majoriti kukuh (atau tiada majoriti langsung), dan pada bila-bila masa akan tumbang.
Oleh itu, besar kemungkinan kabinet Perdana Menteri sedia ada tidak akan ada lagi pada tahun depan untuk melaksanakan dasar-dasar dan perbelanjaan yang diperuntukkan dalam Bajet 2021 yang disediakan oleh mereka.

Dan kerajaan dan Perdana Menteri yang baru yang menggantikan mereka tentunya mahu dan mempunyai rancangan dan dasar-dasar yang baru yang perlu diterapkan dalam Bajet 2021 yang akan dilaksanakan oleh mereka sendiri untuk membantu rakyat dalam menangani krisis ekonomi dan COVID-19 pada tahun hadapan.
Adalah tidak masuk akal dan tidak waras untuk mengekang pentadbiran akan datang untuk melaksanakan Bajet 2021 yang disediakan oleh pentadbiran yang sebelumnya. Ini tidak baik untuk rakyat dan negara.

Dalam keadaan kedudukan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin dan kerajaan PN yang amat goyah kini, jika mereka membuat Bajet ini, rakyat dan negara juga akan terdedah kepada risiko peruntukan dan perbelanjaan dalam Bajet 2021 yang tidak berhemah yang dibuat untuk memujuk dan memuaskan hati ahli-ahli politik akibat Perdana Menteri yang terdesak untuk mendapat sokongan bagi mengekalkan kuasa, dan tidak memberikan tumpuan sepenuhnya kepada rakyat yang sengsara akibat COVID-19.
Ini juga tidak baik untuk rakyat dan negara.

Undian untuk Bajet 2021 ini juga akan meletakkan sebahagian besar Ahli-ahli Parlimen dalam keadaan serba salah iaitu sama ada mengundi setuju dengan Bajet 2021 ini bermakna menyokong Muhyiddin.

Ini kerana Bajet 2021 yang akan dibentang oleh kerajaan sedia ada secara efektifnya adalah “Bajet Muhyiddin”.

Tan Sri Muhyiddin akan menggunakan “kemenangan” dalam undian Bajet ini sebagai kononnya tanda sokongan majoriti Dewan Rakyat ke atas kepimpinannya sebagai Perdana Menteri dan akan terus memegang jawatan tersebut walaupun hakikat sokongan kepadanya adalah tidak begitu.

Dan jika Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin berjaya mendapat kelulusan untuk Bajet 2021 ini di Parlimen pada bulan hadapan sekalipun, kemelut politik masih akan berterusan dan pelaksanaan Bajet ini pada tahun hadapan akan terbantut atau sebahagian besarnya tidak boleh dilaksanakan langsung oleh kerana kedudukan Muhyiddin yang sebenarnya goyah.
Jika ini berlaku “Bajet Muhyiddin” yang akan dibentangkan pada bulan hadapan ini akan menjadi Bajet akademik yang hanya akan membazir masa Parlimen dan rakyat.

Oleh yang demikian, adalah penting supaya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur dan menyerahkan kepada Perdana Menteri dan kabinet yang baru untuk menyediakan dan membentang Bajet 2021.

Ini untuk mengelakkan komplikasi-komplikasi di atas untuk kepentingan rakyat dan negara dan menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong atas kepentingan Bajet 2021 tersebut.

Sumber:

COMMENTS