BTS, Lee Min Ho selebriti paling berharga Korea Selatan

BTS, Lee Min Ho selebriti paling berharga Korea Selatan

Kumpulan BTS dan aktor popular, Lee Min Ho dipilih sebagai selebriti Korea yang paling diminati seluruh dunia.

Ia berdasarkan keputusan diumumkan oleh kerajaan Korea Selatan menerusi 2021 Overseas Hallyu Report, baru-baru ini. Ia hasil kajian dibuat oleh Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan dan Yayasan Pertukaran Budaya Antarabangsa Korea.

Menerusi kenyataan pada 28 Januari itu, BTS dipilih penyanyi K-Pop paling popular, manakala Lee Min Ho pula pelakon lelaki Korea paling disayangi peminat global.

 

Kumpulan K-Pop popular, BTS mengetepikan Blackpink, PSY, Twice dan EXO menduduki tempat pertama paling popular seluruh dunia.
Kumpulan K-Pop popular, BTS mengetepikan Blackpink, PSY, Twice dan EXO menduduki tempat pertama paling popular seluruh dunia.

 

Kajian itu membabitkan 8,500 responden daripada 18 pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan banyak lagi. Kajian atas talian itu berlangsung dari 24 September hingga 4 November, tahun lalu meminta responden menjawab soalan berkaitan kandungan kebudayaan Korea Selatan.

Hasil kajian itu, sebanyak 22 peratus responden memilih BTS sebagai bintang K-Pop kegemaran mereka.

Undian terhadap BTS itu meningkat sebanyak 6.8 peratus dari hasil kajian, tahun sebelumnya. Selain itu, kumpulan Blackpink, PSY, Twice dan EXO menduduki tempat kedua hingga kelima.

Sementara itu, Lee Min Ho menduduki tangga teratas dengan 9.6 peratus bagi kategori pelakon kegemaran. Hyun Bin menduduki tempat kedua, diikuti Gong Yoo, Song Hye Kyo, dan Lee Jong Suk.

 

Karya fenomena dunia, Crash Landing On You dipilih menjadi drama Korea paling popular dengan undian sebanyak 9.5 peratus.
Karya fenomena dunia, Crash Landing On You dipilih menjadi drama Korea paling popular dengan undian sebanyak 9.5 peratus.

 

Berkenaan filem pula, filem Parasite yang mencipta sejarah sebagai Filem Terbaik Oscar, tahun lalu menduduki tangga teratas dengan undian sebanyak 18.4 peratus, manakala Pucca pula memenangi undian sebanyak 21.4 peratus, sekali gus dipilih sebagai karakter animasi kegemaran.

Seterusnya, siri popular tvN, Crash Landing On You dipilih menjadi drama Korea paling popular dengan undian sebanyak 9.5 peratus. Seterusnya drama, It’s Okay to Not Be Okay berada kedudukan kedua (4.1 peratus), The World of the Married dan Itaewon Class (2.8 peratus) dan Kingdom (2.5 peratus).

COMMENTS