Dari penari berubah menjadi pengusaha kebun sayur

Dari penari berubah menjadi pengusaha kebun sayur

Sebelum pandemik Covid-19 melanda global, aksi lincah mereka memperagakan tarian tradisional pelbagai etnik Sarawak menggamit perhatian pengunjung di Kampung Budaya Sarawak (SCV), Santubong.

Namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, penari kebudayaan di SCV turut terkesan apabila persembahan mula berkurangan berikutan kekurangan pelancong di lokasi wajib dikunjungi di Kuching.

Keadaan semakin gawat sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dikuatkuasakan ekoran gelombang ketiga Covid-19, bulan lalu, apabila tiada langsung pelancong dari luar Sarawak mengunjungi SCV.

Ia sekali gus menukar rutin harian kakitangan SCV yang terdiri daripada penari kebudayaan, pereka tari, pendemonstrasi aktiviti warisan pelbagai etnik, juruteknik dan kakitangan pejabat apabila jadual harian mereka kini turut diisi dengan aktiviti mengusahakan kebun sayur-sayuran di tanah lapang di kawasan pelancongan itu.

Pengurus Besar SCV Jane Lian Labang berkata, walaupun berdepan pelbagai masalah serta kekurangan pendapatan ekoran Covid-19, pihaknya tidak mengambil langkah mengurangkan pekerja di pusat tumpuan pelancong itu.

“Mereka tetap bekerja seperti biasa tetapi ada kerja baharu yang perlu mereka buat iaitu mengusahakan kebun sayur dan buah-buahan dengan semua kakitangan tidak kira penari atau pendemonstrasi, semuanya terbabit sama.

“Tanaman itu kemudian kami jual dan hasilnya dikumpul bagi menambah pendapatan SCV,” katanya.

Jane berkata, usaha itu membuahkan hasil kerana bukan sahaja membantu mengisi dana SCV, malah turut mengisi masa terluang semua kakitangan dengan aktiviti berfaedah.

Sementara itu, pereka tari Dayang Hamidah Awang Morni, 47, yang berasal dari Kampung Lintang, Petra Jaya, berkata, mereka tidak kekok melakukan kerja-kerja di kebun kerana sebahagian besar kakitangan berasal dari kampung.

“Seronok juga mengusahakan kebun sayur-sayuran ini. Selain mengisi masa kami yang terluang kerana tidak banyak persembahan, aktiviti ini juga mampu menambah pendapatan SCV,” katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/649081/rutin-penari-berubah-usaha-kebun-sayur

COMMENTS