Dr M tak mahu akui kesilapan letak jawatan

Dr M tak mahu akui kesilapan letak jawatan

Lim Kit Siang tampil menjawab kenyataan Dr Mahathir Mohamad yang menyalahkannya kerana menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri PH selepas ahli parlimen Langkawi itu meletakkan jawatan.

Pemimpin veteran DAP itu menegaskan bahawa keputusan untuk menyokong Anwar dipersetujui DAP, PKR dan Amanah.

Lim berkata kenyataan Mahathir itu menunjukkan dia masih enggan bertanggungjawab atas kesilapan meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

“PH mencapai keputusan ini selepas Mahathir enggan untuk terus menjadi perdana Menteri PH dan enggan untuk mematuhi dan terikat dengan manifesto pilihan raya umum PH.

“Perlunya ada seorang perdana menteri PH dan sebuah kerajaan PH untuk mempertahankan dan menghormati mandat yang telah diberikan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum 2018.

“Amat malang sekali apabila Mahathir masih enggan untuk bertanggungjawab di atas kesilapan besar beliau apabila beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri sedangkan beliau masih mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli parlimen, daripada PH, Warisan, dan juga Bersatu,” katanya.

Mahathir sebelum ini berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) Plus tidak akan berkuasa jika PH terus menyokongnya setelah dia meletakkan jawatan pada 24 Februari tahun lalu.

Ketiak meletakkan jawatan, Mahathir masih mendapat sokongan ramai anggota parlimen, sebahagiannya kerana mereka percaya bahawa dia akan memimpin mereka ketika pemerintahan PN Plus terbentuk.

Namun, setelah Mahathir mengundurkan diri dan mengecam usaha untuk membentuk semula pentadbiran PH, anggota parlimen yang menyokong usaha itu, termasuk dari GPS yang berpusat di Sarawak, beralih sokongan.

Untuk rekod, Mahathir, dalam pertemuan tertutup dengan para pemimpin PH telah meminta maaf kepada mereka, mengakui bahawa peletakan jawatan itu adalah satu kesilapan.

Namun, Mahathir menegaskan bahawa dia “tidak ada pilihan”.

Mahathir berulang kali berkata dia meletakkan jawatan kerana percaya bahawa dia tidak lagi mendapat sokongan majoriti.

Namun, bekas sekutu Mahathir dalam PH, terutama PKR, tidak senang dengan ahli parlimen Langkawi itu kerana meletakkan jawatan tanpa berunding dengan mereka.

Mereka percaya jika sekiranya Mahathir tidak mengundurkan diri, PH mempunyai masa untuk membuktikan majoriti dan mempunyai kekuatan untuk berunding.

Peletakan jawatan Mahathir akhirnya membolehkan PN membentuk kerajaan dengan hanya mempunyai majoriti tiga ahli parlimen.

Semasa rundingan itu, Mahathir sekali lagi berusaha membuktikan majoriti walaupun mengundurkan diri.

Namun, Mahathir ingin membentuk kerajaan campuran dan melantik menterinya sendiri termasuk dari bukan ahli parlimen PH, sekiranya dia kembali sebagai perdana menteri.

PH tidak dapat bersetuju dan akhirnya memutuskan untuk menyokong Anwar. Anwar bagaimanapun gagal meraih majoriti.

Mahathir, dalam catatan blognya semalam, mengaitkan Lim sebagai punca dia gagal meraih sokongan majoriti.

“Saya fikir kita perlu perkara yang sama. Tetapi saya gagal kerana Kit Siang dakwa saya mahu jadi diktator. Dia sokong Anwar sebagai calon (perdana menteri) PH.

“Jika 92 undi itu bersama saya, saya akan peroleh 154 undi. Bayangkan bagaimana hala tuju negara jika kesemua parti meletakkan negara ini sebagai matlamat utama,” katanya.

Bagaimanapun, Lim berkata, dakwaan itu hanya sangkaan Mahathir sendiri.

Sumber: MK

COMMENTS