Exco sahkan Ustaz Azhar tiada tauliah dari kerajaan Terengganu

Exco sahkan Ustaz Azhar tiada tauliah dari kerajaan Terengganu

Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah mengesahkan kerajaan negeri tidak pernah memberi pentauliahan kepada penceramah Ustaz Azhar Idrus (UAI) untuk mengajar agama.

Menurutnya, UAI tidak pernah membuat permohonan rasmi untuk mendapatkan pentauliahan sedemikian sebaliknya sebarang aktiviti termasuk ceramah di surau dan masjid yang dijayakan UAI selama ini merupakan kebenaran sementara yang dipohon pihak penganjur.

“Maksudnya di sini ialah permohonan untuk mengajar secara berterusan yang mana ia perlu dibuat terus kepada pihak yang menguruskan seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) atau Mufti Terengganu yang jadi penemuduga.

“Secara umum, kita tidak pernah keluarkan tauliah kepada beliau. Sesiapa sahaja termasuk Ustaz Azhar Idrus boleh memohon dan kelulusan akan diberikan dengan mengikut enakmen sedia ada,” jelasnya.

Mohd Nor yang juga Bendahari Pas Terengganu berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika menghadiri Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Wisma Darul Iman semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong itu diminta mengulas mengenai isu UAI yang dikatakan tidak mempunyai tauliah untuk mengajar agama.

Menurutnya, walaupun pentauliahan tidak diberikan, mana-mana individu termasuk UAI boleh membuat permohonan untuk memberi ceramah sama ada di masjid, surau atau program-program tertentu.

Malah, katanya, kerajaan negeri tiada halangan untuk UAI memberikan ceramah kerana ia berasaskan permohonan dari semasa ke semasa bergantung kepada pihak yang menganjurkan program atau menguruskan masjid.

“Sebenarnya, ia (pentauliahan) telah ditetapkan dalam Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) di bawah autoriti Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang menentukan polisi dan ketetapannya,” kata Mohd Nor.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak akan campur tangan bidang kuasa yang telah ditetapkan dalam enakmen berasaskan autoriti dan undang-undang masing-masing.

“Sebaliknya, kita hanya boleh menyarankan perbincangan dan cadangan kepada pihak yang berautoriti untuk tindakan sewajarnya.

“Selagi tiada isu penyelewengan atau mencetuskan perpecahan dalam masyarakat, sesiapa sahaja boleh buat permohonan termasuk UAI,” tambah Mohd Nor lagi.

Untuk rekod, UAI, 56, mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu dan pernah menjadi gitaris dalam satu kumpulan band muzik sekitar ibu negeri Terengganu.

Beliau kemudiannya dikatakan belajar agama sekitar tahun 1990 secara talaqqi dengan lapan orang guru dalam tempoh 12 tahun.

Antara gurunya ialah Haji Muhammad Zin Pondok Lubuk Pandan Wakaf Tapai.

Kegagalan UAI memperolehi tauliah mengajar di masjid, surau dan majlis ilmu di Terengganu dilihat memberi implikasi undang-undang menurut Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) Tahun 2001.

Sumber:https://malaysiadateline.com/exco-sahkan-ustaz-azhar-tiada-tauliah-dari-kerajaan-terengganu/

COMMENTS