Fauziah Nawi dijemput ke Istana Negara

Fauziah Nawi dijemput ke Istana Negara

Hasrat pelakon veteran, Fauziah Nawi, 68, untuk berjumpa pembesar negara termasuk Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri bagi memohon kebenaran untuk penggiat seni menjalani penggambaran tercapai apabila dia dijemput ke Istana Negara, di sini, semalam.

Fauziah dalam satu hantaran di Facebook semalam berkata, dia bersyukur apabila diberi kebenaran untuk bertemu dengan pegawai-pegawai Istana Negara, pagi semalam.

Fauziah yang mesra dengan panggilan ibu menjunjung kasih terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas keprihatinan dan kepekaan baginda terhadap keluh-kesah penggiat seni yang amat terkesan akibat penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Alhamdulillah, atas titah perkenan Tuanku, patik bersama beberapa rakan seperjuangan dapat untuk bertemu dengan pegawai-pegawai Istana Negara hari ini (semalam),” tulisnya.

Fauziah berkata, dalam pertemuan itu, mereka diberi peluang meluahkan dan menyuarakan masalah dan keperitan yang dihadapi serta keadaan sebenar yang diharungi anak-anak seni ketika ini.

Menurutnya, mereka juga memberi beberapa pandangan dan cadangan supaya anak-anak seni tanpa mengira cabang seni yang diceburi supaya diberi kelonggaran dengan ketetapan SOP untuk bekerja mencari rezeki demi kelangsungan hidup bersama keluarga.

“Orang macam kami, ada kerja, ada gaji. Tidak ada kerja, tak ada gaji. Sejak penularan Covid-19 dan pelaksanaan PKP, kami tidak terkecuali dari tekanan ekonomi yang melanda ramai rakyat Malaysia,” katanya.

Fauziah turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan, Kementian Komunikasi dan Multimedia, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan semua persatuan-persatuan dalam industri hiburan di atas usaha mereka menangani permasalahan berkenaan.

Fauziah turut berharap luahan dan perkongsian mereka mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong.

Pada 4 Februari lalu, Fauziah menyatakan kesanggupannya untuk bertemu Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri bagi memohon kebenaran untuk penggiat seni menjalankan penggambaran.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/rap/2021/02/673464/fauziah-nawi-dijemput-ke-istana-negara

COMMENTS