Fizo Omar gesa kerajaan negeri Kelantan selesaikan isu air

Fizo Omar gesa kerajaan negeri Kelantan selesaikan isu air

Pelakon Fizo Omar menggesa pihak berwajib khususnya kerajaan negeri Kelantan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah air tercemar yang masih dihadapi rakyat negeri berkenaan sehingga hari ini.

Fizo, 36, menerusi satu hantaran Instagramnya melahirkan rasa kecewa kerana masalah kualiti air di Kelantan masih tidak berkesudahan sejak sekian lama.

Dalam perkongsian tersebut, Fizo turut memuat naik sebuah video yang memaparkan dia sendiri melalui pengalaman menerima bekalan air kotor di negeri kelahirannya itu.

BACA JUGA : Tular video cctv dua lelaki bakar pondok polis

“Tolong lakukan sesuatu kerajaan negeri! Bukan nak merungut tetapi sebagai rakyat saya rasa patut bersuara mengenai kualiti air di Kelantan.

Masalah ini bukan isu baru pada hari ini tertapi sudah bertahun-tahun. Air ialah keperluan harian dan tiada pilihan lain selain daripada air dari paip kerajaan,” kata pemilik nama penuh Wan Hafizol Wan Omar itu.

Tambah pelakon drama Rindu Awak Separuh Nyawa itu, dia berharap agar suaranya sebagai rakyat negeri tersebut didengari dan pihak berwajib mengambil tindakan segera.

BACA JUGA : Gelaran Datuk Seri, Sri Sanjeevan ditarik balik dan dibatalkan serta-merta

“Kepada mana-mana pihak yang berkaitan, saya mohon maaf sekiranya hantaran ini mencetuskan rasa tidak selesa tetapi inilah hakikatnya.

“Diharap suara saya ini didengari dan pihak berwajib mengambil tindakan segera untuk kebaikan semua rakyat Kelantan,” katanya lagi.

Menjengah ke ruangan komen, kebanyakan pengikut Instagramnya turut berkongsi pengalaman apabila turut melalui perkara tersebut. Ramai sependapat dengan Fizo dan sudah tidak boleh bersabar dengan kualiti air yang keruh, berbau dan berkeladak yang dihadapi setiap hari.

“Setuju sangat-sangat. Tolonglah bantu isu air di Kelantan. Memang teruk sangat, kesian rakyat Kelantan,” komen seorang netizen.

Difahamkan, masalah bekalan terganggu dan kualiti air kotor sudah lama disuarakan oleh penduduk Kelantan namun isu tersebut masih kerap berlaku sehingga hari ini.

Berita penuh : Kosmo

COMMENTS