Gabungan baru pembangkang seperti perlekeh PH

Gabungan baru pembangkang seperti perlekeh PH

Cadangan gabungan baru parti-parti pembangkang seperti memperlekehkan peranan Pakatan Harapan (PH) sebagai blok terbesar pembangkang sedia ada, kata Pemuda PKR (AMK).

Kenyataan itu dikeluarkan selepas muncul gesaan membentuk gabungan pembangkang lebih besar bersama Warisan dan blok Dr Mahathir Mohamad.

Dalam kenyataan hari ini, Naib Ketua AMK Syed Badli Shah Syed Osman menyalahkan Dr Mahathir Mohamad atas peletakan jawatannya sebagai perdana menteri dan pengerusi PH.

 

Syed Badli Shah berkata tindakan itu telah menyebabkan PH berada dalam keadaan tidak menentu hari ini.

“Sebaliknya Anwar Ibrahim yang mengambil alih kepimpinan PH telah berjaya memulihkan kembali pandangan umum terhadap PH dan mengembalikan keyakinan rakyat.

“Adalah tidak wajar beliau ditekan hanya kerana belanjawan 2021 gagal ditolak sebaliknya pembangkang wajar berterima kasih kepada Anwar Ibrahim kerana telah berusaha sehabis baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam mengeluarkan kenyataan bersama mengenai langkah ke depan pembangkang semalam.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata pembentukan gabungan besar antara parti-parti pembangkang memang suatu isu penting untuk pilihan raya umum akan datang.

Mempertahankan presidennya, Syed Badli juga menyeru supaya seluruh parti-parti pembangkang untuk bersatu dibawah PH dan kepimpinan Anwar sebagai ketua pembangkang.

“Satu bentuk penyatuan kukuh adalah perlu demi memantapkan usaha mengembalikan mandat seterusnya memperkukuh kerjasama ke arah pilihan raya,” katanya.

Semalam, parti-parti kerajaan mencapai kata sepakat untuk menubuhkan Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) untuk membincangkan dasar-dasar kerajaan dan mengukuhkan kerjasama sesama mereka.

Sumber:https://www.malaysiakini.com/news/555737

COMMENTS