Gempar!!! Baunya menusuk tapi ramai minat

Gempar!!! Baunya menusuk tapi ramai minat

Permintaan tinggi terhadap ikan bengkak (ikan bekok) menyebabkan Hassan Bakar, 56, tidak menang tangan bagi memenuhi permintaan pelanggannya.

Menurutnya, setiap hari enam pekerjanya memproses kira-kira 800 kilogram (kg) pelbagai jenis ikan untuk memenuhi permintaan pelanggan selain turut dijual oleh ahli myKomuniti Perikanan (myKP) di sekitar Tanah Merah, Gua Musang dan Jeli.

Katanya, dia mendapatkan bekalan ikan segar daripada beberapa nelayan di sekitar kawasan Kuala Besar pada harga berpatutan yang dibeli secara borong atau membelinya di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong.

“Kebiasaannya untuk menghasilkan ikan bengkak, saya akan menggunakan ikan cencaru, layur, talang, selar kuning, dan gelama. Namun sejak dua hari lalu, ikan layur mendapat permintaan tinggi berbanding ikan lain.

“Musim ikan layur hanya setahun sekali iaitu antara Februari hingga Mac dan mungkin disebabkan ini jugalah ikan ini mendapat permintaan sehingga saya perlu memprosesnya 200 kg sehari bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Besar, di sini, semalam.

Dia berkata, sebelum mengusahakan perniagaan ikan bengkak, dia adalah seorang nelayan namun mengambil keputusan tidak lagi turun ke laut disebabkan faktor usia.

“Memandangkan ikan bengkak mendapat permintaan, saya dibantu isteri, Khapsah Husain, 54, mula membuat ikan bengkak sejak dua tahun lalu dan Alhamdulillah ianya semakin mendapat sambutan.

“Untuk membuatnya, ikan yang sudah disiang dan dibersihkan, direndam dalam air garam bersama cuka selama 30 minit atau dilumur dengan garam secukupnya sebelum dijemur seharian. Ini bagi menimbulkan rasa masin, lemak dan masam yang seimbang.

“Ikan ini juga tidak terlalu kering serta tidak terlalu basah selain isinya juga lebih lembut dan tidak keras.

“Sebelum ikan bengkak ini dimasak, baunya mungkin agak kurang menyenangkan, namun ketika digoreng bau itu berubah menjadi aroma menyelerakan dan rasanya sangat sedap,” katanya.

Hassan berkata, bagi menghasilkan ikan bengkak yang baik dan enak, aspek kebersihan dan kesegaran ikan perlu diberi perhatian bagi memastikan perniagaan yang dijalankan dapat bertahan lebih lama.

“Walaupun berbau, ikan bengkak sentiasa dicari yang sememangnya mempunyai tarikan dan penggemar tersendiri.

“Harga ikan bengkak yang dijual secara mentah bermula dari RM12 hingga RM20 untuk 500 gram bergantung kepada jenis ikan,” katanya

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/02/673864/ikan-bengkak-berbau-tapi-ramai-peminat

COMMENTS