Gempar!!Puluhan lori tangki terbakar di sempadan Afghanistan-Iran

Gempar!!Puluhan lori tangki terbakar di sempadan Afghanistan-Iran

Puluhan lori tangki dan gas yang membawa bahan bakar bernilai jutaan dolar terbakar di persimpangan perdagangan terbesar antara Afghanistan dan Iran pada Sabtu.

Insiden pada sebelah petang itu berlaku di pelabuhan Islam Qala, kira-kira 120 kilometer (km) dari barat bandar Herat.

Islam Qala merupakan salah satu pelabuhan utama di Afghanistan, di mana kebanyakan perdagangan rasmi dengan Iran dilakukan.

Difahamkan, kebakaran tercetus ketika lori-lori tangki terbabit diparkir di tepi jalan sebaik sahaja melintasi sempadan.

“Terdapat antara 200 dan 300 lori tangki di situ dan hanya beberapa buah sahaja yang berjaya diselamatkan.

“Api sangat besar dan menyukarkan tugas pemadaman malah tiada siapa dapat menghampiri lokasi kejadian pada jarak satu kilometer,” kata Ketua Dewan Perniagaan Herat, Younus Qazi Zada.

Tambah Zada, penilaian awal kerugian membabitkan jutaan dolar namun pihaknya perlu menunggu sehingga kebakaran dipadamkan sepenuhnya untuk anggaran tepat.

Sekurang-kurangnya 17 mangsa dikejarkan ke hospital dengan beberapa daripada mereka mengalami luka kebakaran serius.

Sementara itu, jurucakap Gabenor Herat, Jailani Farhad berkata, pihaknya meminta bantuan Iran untuk memadam kebakaran tersebut.

Menurut syarikat tenaga Afghanistan, DABS, sekitar 60 peratus wilayah Herat terputus bekalan elektrik.

Punca kebakaran sedang disiasat.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/123808/GLOBAL/Puluhan-lori-tangki-terbakar-di-sempadan-Afghanistan-Iran

COMMENTS