Hanya warga Arab Saudi dibenar tunai ibadah Haji tahun ini

Hanya warga Arab Saudi dibenar tunai ibadah Haji tahun ini

Arab Saudi mengumumkan bahawa hanya warganegaranya dan mereka yang menetap di negara itu dibenarkan untuk menunaikan ibadah haji tahun ini dengan jumlah jemaah terhad kepada 60,000 orang, lapor laman berita The National News.

Kementerian Haji dan Umrah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi berita SPA berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira situasi global pandemik Covid-19 serta mutasi baharu virus tersebut.

Menurut kementerian itu, hanya mereka yang berusia 18 hingga 65 tahun, bebas penyakit kronik dan sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dalam tempoh 14 hari sebelum tarikh haji sahaja dibenarkan untuk menunaikan ibadah tersebut pada tahun ini.

Ibadah haji akan bermula pada 17 Julai ini.

Hampir 2.5 juta jemaah menunaikan ibadah haji pada tahun 2019 yang merupakan tahun terakhir sebelum bermulanya pandemik Covid-19.

Kementerian Kesihatan Arab Saudi berkata, perincian lengkap mengenai keperluan dan protokol kesihatan bagi mereka yang terlibat akan diumumkan hari ini.

Arab Saudi pada tahun lalu telah mengehadkan ibadah haji kepada kira-kira 1,000 penduduk.

Dua pertiga daripadanya adalah ekspatriat asing daripada 160 kewarganegaraan berbeza, manakala satu pertiga lagi adalah anggota keselamatan Arab Saudi serta kakitangan perubatan.

Berita penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/06/12/hanya-penduduk-arab-saudi-dibenar-menunaikan-haji-tahun-ini/

COMMENTS