Harga IPO Volcano 35 sen seunit

Harga IPO  Volcano 35 sen seunit

Volcano Bhd (Volcano), pengeluar komponen elektrik yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd pada 4 April ini menyasar untuk meraih dana RM8.75 juta daripada tawaran awam permulaannya (IPO).

Jumlah berkenaan bakal dijana menerusi tawaran 140 juta saham dengan harga IPO 35 sen sesaham.

Pengarah Urusan Volcano, Datuk Chng Huat Seng, berkata penyenaraian itu dilakukan terutamanya bagi mengumpul dana dalam pembelian mesin dan peralatan.

Beliau berkata,daripada jumlah dana yang dijangka diraihnya itu, RM5.55 juta digunakan bagi pembelian mesin dan peralatan yang akan membantu meningkatkan keupayaan pengeluarannya dalam pengembangan perniagaan disamping meningkatkan profil korporatnya.

“Profil yang ditingkatkan bermaksud kami dapat menarik pelanggan baru dan menjalin kerjasama strategik dengan rakan perniagaan.

“Sebagai syarikat tersenarai, kita akan mempunyai akses ke pasaran modal. Ini akan membolehkan Volcano mengumpulkan dana dari pasaran modal sekiranya terdapat peluang di masa depan untuk mengembangkan perniagaan,” katanya kepada BH baru-baru ini.

Huat Seng berkata, industri juga dijangka akan kembali pulih tahun ini terutamanya dalam segmen elektrik dan elektronik (E&E) sekaligus memberikan prospek positif kepada kumpulan.

Beliau berkata, pandemik COVID-19 telah meningkatkan permintaan untuk komputer riba dan komputer kerana sebahagian besar tenaga kerja global beralih ke arah bekerja dari rumah, serta pembelajaran dalam talian.

Katanya, ketika kesan pandemik kembali pulih atau berakhir, industri E&E global juga akan turut meningkat kembali pada 2021.

Pertumbuhan jangkaan dalam industri E&E global katanya, yang didukung oleh peningkatan permintaan untuk komputer riba dan komputer, akan mendukung permintaan untuk produk plat dan plastik bagi kegunaan elektronik.

“Dengan unjuran positif E&E, kumpulan melabur dalam pembelian mesin bagi kilang kami di Perai, Pulau Pinang dan Rayong, Thailand.

“Pembelian ini adalah sebahagian dari rancangan masa depan kami. Akan meningkatkan kapasiti pembuatan. Untuk perniagaan pembuatan bahagian acuan plastik, kami menjangkakan penambahan lima mesin dengan kapasiti sebanyak 15.56 peratus atau sebanyak 1.67 juta unit setiap tahun.

“Untuk perniagaan pembuatan papan nama, selain meningkatkan kapasiti dengan tambahan enam mesin, kami ingin mempunyai ketepatan pembuatan bagi memenuhi pesanan,” katanya.

Mengulas lanjut, Huat Seng berkata, Volcano juga akan mengukuhkan perniagaannya di Thailand dengan mempertingkatkan kemudahan pengeluarannya menjelang separuh kedua 2024.

Beliau berkata, rancangan masa depan kumpulan di Thailand termasuk memperkukuh kehadiran dalam industri E&E dan automotif.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2021/03/796692/volcano-dijangka-raih-modal-rm875-juta-menerusi-ipo

COMMENTS