Harta rampasan Op Benteng RM306 Juta

Harta rampasan Op Benteng RM306 Juta

Sebanyak 319 bot atau kapal serta 1,465 kenderaan darat dengan nilai mencecah RM306 juta merupakan antara yang dirampas sepanjang pelaksanaan Op Benteng di sempadan negara sejak 1 Mei tahun lepas sehingga 26 Februari lalu, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, dalam tempoh sama, seramai 12,087 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) serta 922 orang tekong turut ditangkap.

“Nilai rampasan dan jumlah tangkapan ini merupakan satu kejayaan dalam usaha membendung penularan Covid-19 melibatkan PATI.

“Op Benteng juga sekali gus memperkukuhkan keselamatan di sempadan negara selain membanteras jenayah rentas sempadan,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) di RTM 1 pada pagi Selasa.

Op Benteng melibatkan operasi bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain yang diperkenalkan selaras pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi menentang penularan wabak Covid-19 dan kemasukan PATI dengan berkesan.

Ismail Sabri berkata, walaupun banyak kekangan yang dihadapi akibat penularan wabak itu, namun aspek mempertahankan kedaulatan negara sentiasa menjadi keutamaan kementerian itu dan ATM tanpa kompromi.

Katanya, sepanjang usaha mengekang penularan Covid-19, penglibatan ATM juga tidak terhad kepada aspek keselamatan, namun turut meliputi bantuan logistik dan aset kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“ATM mewujudkan Hospital Medan untuk merawat pesakit Covid-19 selain khidmat penerbangan membawa kakitangan perubatan ke negeri-negeri terjejas serta penghantaran sampel saringan khususnya di Sabah dan Sarawak ke makmal di Semenanjung,” katanya. – Bernama

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/126444/BERITA/Nasional/Nilai-rampasan-Op-Benteng-RM306-juta

COMMENTS