Hati-hati! Ayam dan mi didapati paling banyak guna logo halal palsu

Hati-hati! Ayam dan mi didapati paling banyak guna logo halal palsu. Ayam, mi, biskut dan roti serta makanan diproses adalah produk yang paling banyak menggunakan logo halal palsu, selain produk seperti berus cat yang diperbuat daripada bulu babi.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, peniaga yang terbabit bertindak demikian demi mengaut keuntungan mudah.

Katanya, jika sikap yang tidak bertanggungjawab dibiarkan berleluasa, masyarakat Islam yang merupakan kelompok terbesar kuasa pengguna di negara ini adalah yang paling terkesan.

Katanya, bagi membendung masalah itu, pihaknya membuat banyak serbuan dan sebanyak 336 premis dikesan menggunakan logo halal tidak sah selain mempamerkan sijil halal palsu seolah-olah perniagaan dijalankan mendapat pengiktirafan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 2018 sehingga 31 Ogos lalu.

“Sepanjang lima tahun sejak 2018 sehingga Ogos lalu, kita telah mengambil tindakan terhadap 336 premis termasuk restoran, kilang-kilang memproses makanan, kedai perkakasan rumah (hardware) dan sebagainya.

Hati-hati! Ayam dan mi didapati paling banyak guna logo halal palsu

“Kes tertinggi diambil tindakan iaitu pada 2019 dengan 90 kes diikuti 2020 (74 kes), 2021 (71 kes) 2018 (63 kes) selain awal tahun ini sehingga Ogos lalu 38 kes direkodkan,” katanya.

Mengulas lebih lanjut, kata Azman, KPDNHEP telah menguatkuasakan perundangan halal di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 bagi mengelakkan peniaga sewenang-wenangnya mengeksploitasi pasaran de­ngan menyalahguna sijil halal.

Jelas beliau, kerjasama erat bersama Jakim giat dijalankan bagi memeriksa premis-premis dikenal pasti secara berkala.

“Mana-mana pusat penyembelihan, kilang memproses makanan, restoran dan sebagainya didapati wujud kesalahan tindakan tegas sudah pasti akan diambil terhadap mereka,” jelasnya.

Tambah Azman, di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, mana-mana syarikat pembekal menggunakan atau mempamerkan sijil halal tanpa kebenaran boleh disabitkan kesalahan denda sebanyak RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya manakala hukuman bagi suatu pertubuhan perbadanan ialah dengan sehingga RM250,000.

“Bagi di bawah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 pula, mana-mana pihak yang menggunakan apa-apa petunjuk makanan tersebut boleh dimakan oleh orang Islam walhal tidak halal boleh, akan didenda sehingga RM1 juta atau penjara lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan yang dikesan melakukan kesalahan berke­naan pula boleh didenda sehingga RM5 juta,” katanya.

BACA:

Tengku Zafrul ‘menghilang’ dari mesyuarat kabinet, rupanya ke Qatar

Bekas pegawai dedahkan siapa TPM II, sungguh tak sangka

Berusia 190 tahun, kura-kura ini jadi haiwan paling tua di dunia masih hidup

+ posts