Hikmah solat diawal waktu

Hikmah solat diawal waktu

Seringkali kita mengeluh dan berasa sedih kenapa Allah selalu menangguhkan permintaan kita.

Pernahkah kita terfikir tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya?

Kita sering saja menangguhkan segala suruhan Allah. Allah tidak menciptakan manusia dengan sia-sia. Kita wajib mentaati dan patuh segala suruhan-Nya.

Antara tujuan dan tanggungjawab kita sebagai hamba adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah, menunaikan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang serta memakmurkan bumi Allah berdasarkan syariatNya.

Salah satu kewajipan kita terhadap Allah SWT adalah dengan menunaikan solat pada awal waktu.

Hadis yang diriwayatkan oleh Tirmidzi mengenai amalan paling utama ialah solat diawal waktu.

Nabi SAW pernah ditanya, “Amalan apakah yang paling utama?” Baginda menjawab: “Solat pada awal waktu.” (Hadis Riwayat Tirmidzi No: 155)

Seperti yang kita tahu, banyak kelebihan dan keistimewaan bagi hamba-Nya yang menunaikan solat di awal waktu.

Ada yang merungkai dari segi saintifik, meditasi dan kesihatan.

Tertarik dengan apa yang dikongsi seorang blogger, Nurisa Omar. Contohnya, pada waktu Subuh, ia berkait rapat dan sangat mempengaruhi sistem metabolisme dalam badan.

Ini diterangkan bahawa alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisme tubuh.

Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar, rezeki dan komunikasi.

Sebab itu hadis untuk berpagi-pagian sentiasa dikongsi oleh pakar motivasi.

Rasulullah SAW bersabda: “Bangunlah pada pagi hari untuk mencari rezeki dan keperluan-keperluan hidupmu. Sesungguhnya pada pagi hari, terdapat berkah dan keberuntungan.” (Riwayat at-Tabrani dan al-Bazzar)

Manakala waktu Zuhur pula, spektrum pada waktu ini berkait rapat dengan frekuensi perut dan hati di mana ia berhubung dengan sistem penghadaman.

Seterusnya waktu Asar, ia dinyatakan frekuensi ketika ini berkait dengan sistem yang ada pada prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif.

Dengan solat Asar pada awal waktu akan memberi kesan yang baik kepada organ kesuburan.

Selain itu, kelebihan solat awal untuk waktu Maghrib ada dijelaskan kaitan dengan unsur keyakinan pada frekuensi otot, saraf dan tulang. Di mana waktu ini, spektrum warna menghampiri frekuensi jin dan iblis iaitu cahaya merah (infra-red).

Dinasihatkan juga kepada musafir untuk berhenti solat terlebih dahulu dan tidak meneruskan perjalanan kerana ia boleh menyebabkan kekeliruan terutama pada pandangan mata.

Rungkaian untuk waktu Isyak pula ada keistimewaan dari segi sistem kawalan otak di mana frekuensi pada waktu ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian.

Ini bertepatan dengan hadis Sahih al-Bukhari (5970) yang bermaksud, “Apakah amalan yang paling dicintai disisi Allah SWT? Nabi menjawab “Solat pada waktunya.”

Rasa tertarik dan terpanggil dengan kisah yang dikongsikan oleh pendakwah, Ustazah Asma’ Harun dalam kuliahnya mengenai seorang hamba Allah iaitu seorang pembantu rumah kepada sahabatnya yang bersiap sedia untuk solat, mengambil wuduk setengah jam sebelum masuknya waktu azan.

Selepas mendengar kisah ini, kita dapat rasakan satu aura yang sangat berbeza. Ia satu tamparan yang hebat untuk kita muhasabah.

Kita selalu rasa hebat dan megah dengan apa yang kita ada. Kita rasa lebih berkuasa dengan jawatan apa yang kita pegang dan berapa besarnya gaji bulanan kita.

Kita riak dengan memiliki banyak kereta dan rumah, kita rasa kita sudah cukup bagus dengan siapa kita, kita rasa pongah dan angkuh dengan tingginya jawatan kita, kita merasa tinggi diri dengan apa yang kita miliki.

Sehinggakan kita rasa rugi untuk meninggalkan sebentar urusan dunia.

Sesungguhnya rugi menjadi orang yang angkuh seperti merak. Ini dijelaskan dalam Al-Quran: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami ciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku untuk saling kenal-mengenal, sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah orang-orang yang bertakwa.” (Q.S. Al-Hujurat [49]: 13).

Sebenarnya kita lupa, kita milik-Nya, di mana semua ini adalah pinjaman sementara dan ia milik Allah SWT.

Tapi, dari kisah ini, betapa membuka mata kita, hubungan kita dengan Allah terletaknya pada tingginya takwa kepada Pencipta kita.

Sedangkan pembantu rumah ini menjaga hubungan dengan Allah SWT, betapa kasih dan cintanya dia terhadap Allah SWT.

Di sini menunjukkan beza hubungan kita dengan Allah SWT.

Pernahkah dalam seharian kesibukan tugas kita, kita tanya diri kita? Dalam setahun berapa kali kita solat sejurus selesainya azan? Dalam sebulan, berapa kali kita solat di awal waktu?

Belum lagi ditanya, khusyukkah solat kita? Pernahkah kita muhasabah status pencapaian KPI dalam solat kita?

Jom amalkan dan didik diri untuk solat diawal waktu.

Dengan solat pada awal waktu, kita akan berasa waktu dan masa itu lebih lama, lapang dan tenang daripada biasa kerna terdapatnya barakah.

Muat turun aplikasi solat untuk menghantar notifikasi azan atau waktu solat supaya tidak leka dengan tugasan kerja.

Tutup komputer atau berhenti serta-merta bila azan berkumandang dan terus bersiap sedia dengan mengambil wuduk.

Jadikan setiap waktu solat sebagai temu janji yang paling eksklusif dan dating kita dengan Pencipta yang dinanti-nanti.

Ini kerana Allah lah majikan Teragung. Sentiasa berada dalam kumpulan yang suka mengingatkan satu sama lain untuk sentiasa mengajak untuk kita bersolat seusai azan berkumandang.

Seeloknya terus menuju masjid atau surau untuk menunaikan solat secara berjemaah. Banyak keistimewaan dan kelebihan dalam menunaikan solat berjemaah antaranya adalah kita akan mendapat ganjaran pahala berlipat kali ganda, “Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda).” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Selain itu, terlepas dari azab api neraka dan terhindar jadi seorang munafik, mendapat perlindungan dari Allah pada hari Kiamat, dinaikkan darjat di sisi Allah SWT, diampunkan dosa, mendapat jaminan syurga, disediakan hidangan di syurga, mendapat cahaya pada hari kiamat dan pahala seperti menunaikan haji.

Sesiapa yang ingin doanya dimakbulkan segera oleh Allah SWT, solat dengan segera.

Lebih cepat kita tunaikan hak Allah, lebih cepat Allah akan makbulkan hajat kita.

Jadikan semua rezeki dan kurniaan Allah kepada kita itu sebagai pemangkin untuk kita jadi lebih berdisiplin.

Bentuk diri dengan solat pada awal waktu. Tinggalkan sementara urusan dunia, dan tunaikan tanggungjawab kita kepada Maha Pencipta.

Penulis ialah Guru Bahasa, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/2020/11/644853/hikmah-solat-awal-waktu

COMMENTS