Hot!!! Belanja RM40,000 hanya solek kereta

Hot!!! Belanja RM40,000 hanya solek kereta

Minat mendalam terhadap ubah suai kereta dan ingin menonjolkan kelainan menyebabkan pemilik kereta Proton Saga LMST edisi 2003-2008 sanggup berbelanja besar untuk kepuasan dirinya.

Muhammad Osman, 36, berkata, setakat ini dia menghabiskan lebih RM40,000 bagi mengubah suai kereta berkenaan sebaik memulakan aktiviti itu pada 2014.

Katanya, paling istimewa, aktiviti dilakukan sekadar sampingan dan mengisi masa lapang pada hujung minggu dan cuti itu turut menaikkan semangatnya apabila kereta itu memenangi banyak anugerah dalam beberapa pertandingan dan pameran kereta tercantik atau auto show tempatan sebelum ini.

“Saya mula mengubah suai dan menyolek kereta ini pada 2014, namun ketika itu sekadar menukar bahagian tertentu secara berperingkat seperti bahagian rim dengan menukarkan sport rim lebih menarik dan bergaya.

“Selepas itu, saya menaikkan taraf sistem audio, radio dan diikuti menukar cat di bahagian badan kereta.

“Saya memilih tema Joker dan Harley Quinn pada badan kereta bagi memberikan kelainan dan setakat ini, kereta saya adalah satu-satunya yang menggunakan tema tersendiri di negeri ini,” katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

Muhammad yang tinggal di Sikamat dan bekerja di hospital swasta di Senawang berkata, tema itu dipilih secara spontan kerana minat kepada gaya watak Joker dalam filem terkenal itu.

Bagaimanapun, katanya, ubah suai dilakukan itu tidak menyebabkan struktur badan asal kenderaan terbabit bertukar.

“Bentuk badan kereta masih kekal seperti asal bagi mematuhi undang-undang, sebaliknya ubah suai hanya di bahagian tertentu seperti dalaman termasuk tempat duduk dan sistem audio, bunyi dengan pemasangan peralatan lebih canggih dan nampak ‘rare’.

“Sebelum ini, saya banyak menyertai auto show bukan saja di Negeri Sembilan sebaliknya di luar termasuk di Kuala Lumpur, Melaka, Johor Bahru, Shah Alam dan beberapa tempat lain.

“Tidak kurang 40 piala diterima dalam tempoh sekitar enam tahun pembabitan dalam aktiviti itu dari pelbagai kategori disertai,” katanya yang masih bujang.

 

 

Menurutnya, walaupun hadiah diterima tidak setimpal dengan kos dibelanjakan, namun dia tetap puas.

Katanya, matlamat menyertai auto show bukan sekadar untuk mendapatkan kemenangan semata-mata, tetapi seronok berjumpa ramai kawan dari pelbagai bangsa dan peringkat usia sambil bertukar pengalaman.

“Saya pernah memperoleh beberapa kejuaraan dan ia suatu kenangan menarik dan apa yang lebih penting, kita dapat mewujudkan perhubungan baik dalam masyarakat khususnya kalangan peminat kereta.

“Mungkin segelintir individu menyifatkan kerja ubah suai dan menyolek kereta sehingga berhabis puluhan ribu adalah sia-sia, tetapi ia terpulang kepada diri sendiri dan minat seseorang tidak boleh dihalang.

“Saya menggunakan wang sendiri dan bukannya meminjam atau meminta dengan orang lain atau ahli keluarga,” katanya.

Muhammad berkata, keretanya sering menjadi tarikan orang ramai untuk bergambar dan sebagainya termasuk bagi tujuan meraikan majlis keraian seperti, majlis pertunangan, perkahwinan dan majlis rasmi agensi kerajaan serta swasta sebelum ini.


Bagaimanapun, katanya, susulan penularan wabak Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), aktiviti itu terus berkurangan, malah program auto show tidak dapat diadakan.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/utama/2021/02/673926/belanja-rm40000-solek-kereta-jadi-joker-metrotv

COMMENTS