Individu OKU bersyukur terima bantuan daripada Agong

Individu OKU bersyukur terima bantuan daripada Agong.

“Saya bersyukur dan hanya mampu mengucapkan terima kasih pada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengurniakan rumah,” kata Mohd Khairi Othman, 47.

Mohd Khairi, orang kurang upaya (OKU) tanpa tangan dan kaki, berkata rumah menerusi inisiatif Yayasan Al-Sultan Abdullah (Yasa) itu amat bermakna buat dia dan keluarga.

“Saya bagaikan tidak percaya apabila pegawai Pejabat Tanah dan Daerah Pekan menyatakan, saya mendapat rumah bersama kedai kurniaan Yasa yang dibina di atas tanah milik sendiri di Kampung Tanjung Pulai.

“Sebelum ini saya sekeluarga berteduh di rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dibina pada 2011, namun rumah berkenaan terletak di atas tanah arwah ibu dan kini menjadi tanah pusaka.

“Saya juga mendapat bantuan kedai runcit daripada Jabatan Perikanan dan kini menjadi sumber rezeki kami sekeluarga,” katanya, di sini semalam.

Mohd Khairi berkata, sumbangan rumah itu lebih bermakna apabila Yang di-Pertuan Agong hadir pada majlis penyerahan rumah itu minggu lalu, dan menyifatkan ia sebagai kenangan tidak mungkin dapat dilupakan sampai bila-bila.

Katanya, rumah baharu itu dibina mesra OKU dan mempunyai dua bilik dan satu bilik air serta amat selesa untuk dia bersama isteri, Zaleha Mohd Nafis, 49, dan anak tunggalnya, Muhammad Tasnim, 12, berteduh.

Katanya, selain menjalankan perniagaan kedai runcit sebagai sumber pendapatan yang diuruskan isterinya, dia juga turut terbabit dengan aktiviti menangkap ikan dan udang di Sungai Pahang.

“Sebagai nelayan darat pendapatan tidak menentu, saya mampu meraih antara RM500 hingga RM600 sebulan, ketika musim tengkujuh dan banjir aktiviti di sungai tidak dapat dilakukan.

“Kecacatan bukan halangan untuk saya terus berusaha menyara keluarga, sokongan keluarga dan penduduk kampung menambahkan lagi semangat saya untuk terus berdikari,” katanya.

BACA JUGA:

Individu menyamar guna akaun TMJ di Instagram untuk dapatkan bayaran

Lebih separuh daripada 1,292 sekolah rendah, menengah di sabah daif & uzur

Didakwa tawar RM10 juta kepada Wan Saiful, SPRM akan ambil tindakan undang-undang

+ posts