Ingatkan pelepah sawit, rupanya mayat jiran

Ingatkan pelepah sawit, rupanya mayat jiran

“Mulanya saya menyangka objek yang di tengah jalan itu pelepah sawit, apabila diamati secara dekat rupa-rupanya tubuh badan jiran saya,” kata saksi, Jamaludin Dollah, 50.

Dalam kejadian 8.11 malam kelmarin, seorang wanita warga emas berusia 79 tahun ditemukan maut dengan kesan kecederaan di kepala di Jalan Kampung Kedah, Kampung Kuantan, di sini.

Bercerita lanjut, Jamaludin berkata, ketika menemukan mayat itu, dia dan isteri, Jamaiah Saidin, 46, dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki motosikal selepas membeli barang dapur di pekan Kuala Selangor.

“Dalam perjalanan pulang, saya ternampak ada objek seperti pelepah sawit berada di tengah jalan. Kebetulan, keadaan di kawasan sekitar gelap dan menyukarkan saya mengenal pasti objek itu.

“Saya kemudian berhenti di tepi jalan dan memberanikan diri untuk melihat lebih dekat. Meremang bulu roma apabila objek yang terbaring itu adalah jiran saya sendiri,” katanya ketika ditemui Harian Metro di lokasi kejadian, hari ini.

Jamaludin berkata, dia kemudian bergegas ke rumah jirannya untuk memaklumkan kejadian yang menimpa wanita warga emas itu.

Dalam pada itu, ahli keluarga mangsa, Hishammuddin Mat Azit, 46, mengesahkan mangsa ialah ibu saudaranya, Majenah Ketik.

“Sebelum kejadian, saya ada bertemu arwah yang datang ke rumah keluarga kami untuk makan pada 1 tengah hari, kelmarin dan pulang ke rumah di Subang Jaya pada 5 petang, hari yang sama.

“Kira-kira 7.55 petang, saya mendapat panggilan dari jiran yang memaklumkan arwah ditemui meninggal dunia di tengah jalan dalam keadaan terbaring,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, setakat ini kes terbabit masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat dari Hospital Sungai Buloh (HSB).

“Perkembangan dan siasatan lanjut mengenai kes berkenaan akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/648256/ingatkan-pelepah-sawit-rupanya-mayat-jiran

COMMENTS