Ini 8 model baru dan facelift kereta bakal berada di pasaran 2023

Ini 8 model baru dan facelift kereta bakal berada di pasaran 2023. Pejam celik-pejam celik nampaknya kita sudah memasuki bulan terakhir tahun 2022 dengan masa yang berlalu dirasakan terlalu sekejap. Dengan ekonomi negara yang baru pulih daripada COVID-19, diikuti dengan pilihanraya serta demam bola sepak piala dunia sebenarnya tidak menghalang pembuat automotif merancang model-model baru untuk dilancarkan pada tahun 2023.

Jadi seperti biasa kami akan senaraikan beberapa buah kereta sedan, kompak, SUV dan juga MPV yang bakal dilancarkan pada tahun 2023 nanti. Pastinya suasana pasaran automotif tahun 2023 akan meriah nanti.

1. Perodua Axia 2023- Axia antara model yang dinantikan oleh peminat Perodua bagi menggantikan model lama yang sudah memasuki tahun ke 8 pengeluaran. Ini merupakan model penting bagi Perodua yang mahukan sebuah kereta mampu milik untuk rakyat Malaysia yang terkenal menerusi model kecil

Ini 8 model baru dan facelift kereta bakal berada di pasaran 2023

Axia baru akan meneruskan legasi model lama seperti Kancil Kenari Kelisa Viva dan Axia generasi pertama dimana pemilik mahukan sebuah kereta kompak mampu milik, cukup menjimatkan bahan api, tapi dengan aspek perlindungan keselamatan penuh

Model baru ini akan dibangunkan dengan cesi DNGA, enjin 1000cc 3 silinder VVTi, transmisi DCVT dan juga sistem keselamatan ASA 3.0

2. Perodua Aruz facelift – Kita juga boleh menjangkakan akan berlaku aktiviti facelift dimana Perodua akan memberi kemaskini terbaru kepada SUV popular mereka iaitu Perodua Aruz yang berada dipasaran semenjak tahun 2019.

Memasuki tahun ke 4 merupakan tahun yang sesuai untuk aktiviti naiktaraf seperti pemasangan audio dengan Apple Car Play/ Android Auto dan juga sistem ASA 3.0. Sistem ASA 3.0 yang baru juga membolehkan Aruz dipasang dengan lampu depan adaptif ataupun paling kurang dengan ciri Auto High Beam.

3. Proton X90- terdapat beberapa unit Proton X90 yang berkeliaran diuji oleh pihak Proton dan kami rasakan tahun 2023 merupakan tahun yang tepat bagi Proton menggantikan model MPV Exora 7 tempat duduk. Sentimen pengguna sekarang mahukan SUV sebagai kenderaan utama dan tawaran 7 tempat duduk adalah bonus

Diasaskan daripada model Geely Houyue, X90 mungkin akan menggunakan enjin terkini 1500cc 3 silinder yang menjana sehingga 175 kuasa kuda dan 255Nm tork. Ia akan digandingkan dengan transmisi 7 kelajuan DCT. Ada juga desas desus mengatakan X90 akan dibekalkan dengan sistem hibrid yang menawarkan kuasa sehingga 190 kuasa kuda

4. Proton S50-Proton juga diberitakan sedang aktif menjalankan kajian pembangunan bagi sebuah sedan segmen C yang dinamakan sebagai S50. Dari segi saiz, sedan ini lebih besar daripada Persona dan menghampiri saiz Honda Civic dan juga Toyota Corolla Corolla. Ia dibangunkan atas platform BMA yang sama digunakan oleh X50

Dari segi enjin, kami juga yakin bagi menjimatkan kos pembangunan dan penghasilan, ia akan ditawarkan dengan enjin 1500cc 3 silinder tapi dalam 2 tetapan kuasa samaada TGDI yang menjana 175 kuasa kuda dan 255Nm tork. Satu lagi pilihan enjin ialah 1500cc 3 silinder MPI yang menjana 148 kuasa kuda dan 225Nm tork

5. Toyota bZ4x – kami menjangkakan tahun 2023 merupakan tahun yang amat sibuk bagi pasukan Toyota dimana pemerhatian awal kami mendapati ibupejabat Toyota di Shah Alam sudahpun dipasang dengan pengecaj DC pantas. Ini memberi petunjuk bahawa Toyota bersedia untuk membawa masuk model EV mereka iaitu bZ4x pada tahun depan

Untuk pasaran Global terdapat 2 varian yang ditawarkan samaada varian pacuan 2 roda (202hp 266Nm tork) depan ataupun varian pacuan 4 roda AWD (216hp, 337Nm tork). Semua varian ditawarkan dengan 71.4kWh bateri ion lithium

6. Toyota Gazoo Racing -Tapi pada masa yang sama barisan model sport Toyota menerusi model Gazoo Racing juga tidak akan ketinggalan membuat kemunculan di Malaysia. Antara model-model yang bakal dibawa masuk ke sini ialah GR Corolla, GR Supra dengan transmisi manual 6 kelajuan dan GR 86.

GR Supra Manual 6 kelajuan merupakan projek khas yang dibangunkan oleh Toyota bagi mengubati kekecewaan peminat mereka yang mahukan sebuah kereta sport dengan transmisi manual. Ia akan menggunakan enjin 3000cc 6 silinder turbo yang menjana sehingga 382 kuasa kuda dan 500Nm tork

GR Corolla akan menggunakan enjin 1600cc 3 silinder yang sama seperti yang dgunakan oleh GR Yaris tapi dengan talaan kuasa yang leboih tinggi. Model pacuan 4 roda dengan sistem GR-Four ini akan menghasilkan 300 kuasa kuda dan 370Nm tork adalah pesaing terdekat Honda Civic Type R

Model terakhir yang popular dalam barisan Gazoo racing adalah GR-86 yang diasaskan daripada Subaru BRZ. Ia adalah model kereta sport klasik 2 pintu pacuan belakang dengan enjin boxer 2400cc NA yang menghasilkan 232 kuasa kuda dan 250Nm tork dengan transmisi manual 6 kelajuan.

7. Toyota Vios 2023 – Bagi model sedan berkuasa petrol, kita boleh jangka yang Toyota akan melancarkan model Vios 2023 dengan segera bagi menggantikan model Vios 2020. Model baru Vios 2022 ini dibangunkan atas platform DNGA sama seperti Alza dan ditawarkan dengan transmisi DCVT. Cuma yang menjadi tanda tanya ialah pilihan enjin kerana bagi pasaran Thailand ia menggunakan enjin yang berbeza

Samaada Toyota menggunakan enjin 1500cc 4 silinder dual VVTi yang sama diperkenalkan pada tahun 2019 dulu atau menggunakan enjin baru sepenuhnya masih lagi menjadi tandatanya. Atau Vios akan ditawarkan dengan sistem hibrid?

8. Honda BRV – tahun 2022 menyaksikan Honda banyak memperkenalkan model baru seperti Honda City Sedan, City Hatchback, HR-V dan juga Civic di pasaran Malaysia. Tapia da 2 lagi model penting yang belum diterima oleh Honda Malaysia iaitu SUV Honda BR-V serba baru yang diperkenalkan oleh Honda Indonesia pada tahun 2022.

Honda BR-V juga merupakan model yang penting pada Honda disebabkan ia menawarkan alternatif SUV/MPV 7 tempat duduk yang kompak dan mampu milik pada pelanggan di Asia Tenggara. Model baru ditawarkan dengan pelbagai ciri keselamatan terbaru seperti 6 beg udara keselamatan dan sistem Honda Sensing

Cuma kami masih tertanya-tanya adakah Honda akan membawa masuk lawan kepada Perodua Ativa iaitu Honda WR-V memandangkan model ini masih baru di pasaran Indonesia. Kami juga sangat berharap model sport popular iaitu Honda Civic Type R 2022 akan dibawa masuk bagi memberikan tawaran sebuah kereta sport manual 6 kelajuan sejati sebelum dunia beralih arah kepada trenkuasa elektrik sepenuhnya.

Sebenarnya ada beberapa lagi model yang akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia pada tahun depan. Kalau ada senarai yang cukup, nanti kami keluarkan artikel ke dua berkenaan dengan topik ini.

BACA:

Erra Fazira dah kahwin? Pengurus dedah kisah sebenar buat ramai terkejut

Semakan keputusan bela diri, Bung dan isteri gagal

Pemimpin PN minta Anwar agar jangan pilih kasih

+ posts