‘Ini jasa terakhir arwah’

‘Ini jasa terakhir arwah’

Suami kepada korban banjir pertama Johor sebak apabila menerima faedah caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) arwah isterinya yang disampaikan, hari ini.

Menurut Jamil Abas, 66, berkata, pemergian Halijah Ab Majed, 59, yang lemas ketika meredah banjir di hadapan rumah mereka di Kampung Contoh, di sini pada 2 Januari lalu sukar dilupakan dan ibarat mimpi ngeri.

Katanya, ketika itu mereka mahu berpindah ke untuk ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) tanpa bantuan pasukan keselamatan, berikutan air yang sudah memasuki rumah selain bimbang terperangkap.

“Saya sedang bersiap untuk keluar rumah dan arwah sudah mengharung banjir, namun malangnya arwah tersalah laluan, dia terjatuh ke dalam longkang besar di hadapan rumah dan lemas.

“Walau sudah lebih seminggu kejadian itu, masih terngiang-ngiang teriakan penduduk kampung yang bergegas membantu arwah sebaik melihat dia tenggelam,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, Halijah adalah bekas pekerja kilang yang kali terakhir mencarum pada Ogos 2010.

“Saya tidak sangka walaupun arwah sudah 10 tahun tidak bekerja dan mencarum, masih ada faedah boleh diterima,” katanya yang mendirikan rumah tangga bersama arwah selama 41 tahun dan dikurnia dua anak.

Menurutnya, faedah yang diterima itu akan dimanfaatkan sebaiknya dan menganggapnya sebagai jasa arwah walaupun dia sudah tiada.

Sementara itu, Pengurus Pejabat Perkeso Kluang, Ahmad Suzaime Abdul Aziz berkata, pihaknya melakukan semakan selepas mengetahui kejadian menimpa arwah dan mendapati dia layak untuk menerima faedah caruman iaitu Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan pencen penakat.

“FPM sebanyak RM2,000 diserahkan kepada waris iaitu suaminya Jamil Abas dan beliau juga layak menerima pencen penakat setiap bulan,” katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/663499/ini-jasa-terakhir-arwah

COMMENTS