Isteri enggan lakukan hubungan intim, suami tetak ketika isteri sedang menoreh

Isteri enggan lakukan hubungan intim, suami tetak ketika isteri sedang menoreh

Gara-gara sering ditolak untuk melakukan hubungan intim, seorang suami di Indonesia bertindak menetak isterinya sehingga mati ketika mangsa menoreh getah, lapor laman berita Suara.com.

Ketua Polis daerah Labuhan Batu, Anhar Arlia Rangkuti berkata, suspek berusia 59 tahun dari wilayah Sumatera Utara itu melakukan jenayah tersebut kerana bermotifkan cemburu.

“Mangsa sering menolak ajakan suspek untuk melakukan hubungan intim. Mereka juga sering bertengkar kerana masalah rumah tangga,” katanya.

Menurut Anhar, insiden tersebut berlaku pada Selasa lepas sekitar pukul 7 pagi (waktu tempatan) ketika mereka menoreh getah di sebuah ladang.

Suspek dilaporkan menetak leher dan tangan mangsa menggunakan sebilah parang.

Selepas mangsa meninggal dunia, suspek membuang parang yang digunakan ke dalam sebuah gaung tidak jauh dari lokasi pembunuhan, sebelum melarikan diri.

Mayat mangsa yang berusia 55 tahun ditemui oleh penduduk setempat sekitar pukul 11 malam (waktu tempatan).

Suspek kemudiannya diberkas polis di sebuah lokasi persembunyian pada keesokan harinya.

COMMENTS