Jadikan tahun 2020 sebagai iktibar

Jadikan tahun 2020 sebagai iktibar

Penjawat awam perlu mengambil iktibar daripada cabaran, dugaan dan pencapaian sepanjang tahun lalu untuk melangkah ke tahun 2021 dengan satu semangat dan keazaman yang baharu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman berkata, mereka diseru agar terus memperkukuhkan azam mengubah perkhidmatan awam kepada perkhidmatan yang dihormati, disegani dan diteladani kerana kepantasan perkhidmatan, integriti dan profesionalisme.

“Bagi merealisasikan matlamat ini, penjawat awam perlu melakukan perubahan melalui perubahan minda dan tingkah laku serta cara bekerja yang baharu. Kita semua perlu berani berubah ke arah yang lebih baik dan set minda kita untuk meletakkan integriti sebagai tonggak utama dalam perubahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) 2021 melalui Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam hari ini.

Mohd. Khairul Adib berkata, semua jabatan, bahagian dan cawangan perlu menunjukkan contoh yang baik dan mengembalikan era kepimpinan melalui teladan dan berusaha meningkatkan nilai-nilai murni dalam perkhidmatan awam.

Beliau berkata, tahun 2020 telah menyaksikan ada penjawat awam ditangkap dan dituduh kerana telah menerima rasuah dan menyalah guna kuasa seperti isu kartel daging, kad pengenalan, pasport.

Menurutnya, isu keruntuhan integriti penjawat awam bukan lagi isu individu atau isu dalaman organisasi lain tetapi merupakan isu bersama.

“Penjawat awam perlu mengambil sikap ‘jaga tepi kain’ bagi memastikan gejala rasuah dalam perkhidmatan awam dapat ditangani dan tidak merebak menjadi barah,” katanya

Sumber:https://www.kosmo.com.my/2021/01/13/jadikan-tahun-2020-sebagai-iktibar-kppa/

COMMENTS